PETRONAS rai pemenang HKM 2012

Para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2012 (HKM) pada hari ini (1 Julai 2013) diraikan oleh PETRONAS pada satu majlis makan tengah hari di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur sebagai menghargai kejayaan mereka.

PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994.

Majlis makan tengah hari itu dihoskan oleh Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hal Ehwal Korporat PETRONAS, Datuk M. Medan Abdullah yang kebetulan tidak dapat hadir majlis penyampaian hadiah HKM sempena Malam Wartawan Malaysia 2013 yang telah diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 12 Jun 2013.

Hadir sama pada majlis makan tengah hari itu ialah Pengurus Kanan Perhubungan Media Kumpulan Bahagian Hal Ehwal Korporat PETRONAS, Encik Azman Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya.

Medan, dalam ucapan ringkas pada akhir majlis mengucapkan tahinah kepada para pemenang kerana telah menghasilkan karya kewartawanan yang bermutu tinggi. Beliau berharap para wartawan itu mengekalkan azam untuk terus berkarya.

Kata beliau: “Apa yang penting anda semua terus menulis, dan menulis dengan sentuhan hati yang saya percaya akan menyentuh hati pembaca. Itulah cara terbaik untuk anda berkomunikasi dengan khalayak anda.”

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 12 Jun 2013.

800 orang tetamu, sebahagian besarnya wartawan dan pengamal media memeriahkan Malam Wartawan 2013.

Sebahagian daripada para pemenang HKM 2012 bergambar dengan Datuk M. Medan Abdullah (dua kiri) pada majlis makan tengah hari di Mandarin Oriental pada 1 Julai 2013. Duduk di barisan hadapan dari kiri ialah: Melissa Ong (NTV7), Datuk Medan, Datuk Chamil (MPI) dan Aminhayat TV9.

Tekan sini untuk senarai pemenang HKM 2012.