PETRONAS setuju taja HKM 2015

Syarikat minyak negara, PETRONAS bersetuju untuk terus menaja Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS (HKM) bernilai RM300,000 setahun, bermula dengan HKM 2015.

Persetujuan pengurusan tertinggi PETRONAS ini dimaklumkan oleh Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Media PETRONAS, Encik Azman Ibrahim pada pertemuan dengan ahli Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI).

Pada pertemuan yang berlangsung di Kabin Latihan MPI pada 15 Februari itu, beliau membayangkan sekiranya harga minyak mentah naik pada masa akan datang, pihaknya bersedia untuk menimbangkan kuantum penajaan yang lebih besar.

MPI memohon penajaan RM500,000 dengan tujuan untuk menambah hadiah wang tunai yang ditawarkan kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS, tetapi memandangkan harga minyak mentah yang rendah sejak kebelakangan ini, permohonan itu tidak dapat dipenuhi.

PETRONAS adalah penaja hadiah HKM sejak 1994. Bagi 10 tahun pertama, nilai tajaan adalah RM70,000. Ia kemudian ditambah menjadi RM150,000 dan seterusnya RM300,000 untuk HKM 2009. Perjanjian lima tahun penajaan HKM yang tamat pada HKM 2013 dilanjutkan setahun untuk HKM 2014 juga dengan nilai RM300,000.

Bagi HKM 2015 dan seterusnya, 19 kategori ditawarkan kepada kalangan komuniti wartawan Malaysia yang bekerja dalam media cetak, media elektronik dan media dalam talian. Lima kategori baharu diperkenalkan bagi HKM 2015.

Kategori-kategori itu ialah:

  1. Infografik Terbaik
  2. Desain Halaman Pertama Terbaik
  3. Laporan Portal Berita Terbaik
  4. Laporan Radio Terbaik
  5. Kartun Editorial Terbaik

Kategori yang sedia ada dalam HKM sebelum ini yang dikekalkan dalam HKM 2015 ialah:

  1. Tokoh Wartawan Negara
  2. Anugerah Khas Juri
  3. Hadiah Kajai
  4. Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail
  5. Laporan Berita Cemerlang
  6. Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang
  7. Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang
  8. Penulisan Rencana Cemerlang
  9. Penulisan Kolum/Rencana Pengarang Cemerlang
  10. Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang – PETRONAS
  11. Kewartawanan Foto Cemerlang
  12. Foto Esei Cemerlang
  13. Berita Video Terbaik
  14. Dokumentari Video Terbaik

Dua hadiah utama HKM iaitu Anugerah Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kajai masing-masing kekal RM30,000 manakala bagi 17 lagi kategori, termasuk lima kategori baharu yang diperkenalkan pada HKM 2015 akan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi setiap kategori, selain dua hadiah sagu hati bernilai RM1,000. Pemenang utama bagi setiap kategori akan membawa pulang trofi dan sijil manakala penerima hadiah sagu hati turut diberi sijil.

Pada pertemuan itu, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya merakamkan penghargaan kepada pihak PETRONAS khususnya kepada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS, Puan Zahariah Abdul Rahman atas kesudian untuk terus menaja HKM 2015.

MPI juga berterima kasih kepada Encik Azman atas sokongan yang diberikan kepada MPI dalam usaha untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang kewartawanan nasional terutama jaminan beliau untuk meneruskan penajaan HKM 2016 dan seterusnya.

Datuk Chamil berharap durasi tajaan HKM MPI PETRONAS yang lebih panjang akan dapat dimuktamadkan melalui perbincangan dengan pihak PETRONAS selepas penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2016 pada pertengahan tahun ini.

Hadiah kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS 2015 akan disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia 2016 yang dirancang diadakan pada 20 Mei 2016.

 

Feb 15 (3)Encik Azman Ibrahim, Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Media, PETRONAS

 

Feb 15 (2)Serius.. ahli mesyuarat memberikan tumpuan penuh dalam membincangkan permohonan penajaan HKM.

 

Feb 15 (5)

Azman Ibrahim (berjaket biru) memperkatakan sesuatu kepada T. Selva (berkemeja biru, belakang kamera), Choo Joon Kian dan Foo Tick Fat.

 

Feb 15 (4) Hadir menyertai perbincangan dari kiri Mohd Azri Atan (TV3), Datuk Zakaria Abd Wahab (BERNAMA), Dato’ Haji Ibrahim Abdul Rahman (Jabatan Penerangan Malaysia), Datuk Mustapa Omar (Harian Metro/Metro Ahad), Datuk Dr. Chamil Wariya, T. Selva (The Star), Azman Ibrahim (PETRONAS), Foo Tick Fat (Nanyang Siang Pau), Choo Joon Kian (Sin Chew Daily), Francis Fahir (Persatuan Wartawan Sabah) dan Auliya Rashid (PETRONAS).