PETRONAS taja HKM tiga tahun lagi
KENYATAAN MEDIA MPI
PETRONAS taja HKM tiga tahun lagi
23 April, Cyberjaya – PETRONAS bersetuju untuk menaja Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS bagi tempoh tiga tahun mulai HKM 2017 – 2019.
Sehubungan dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin atas persetujuan tersebut.
Menurut Chamil, “saya percaya kesediaan PETRONAS meneruskan tajaannya akan menyuburkan semangat berlumba-lumba dalam kalangan wartawan untuk menghasilkan karya-karya yang berkualiti tinggi bagi dimasukkan dalam pertandingan tiga tahun akan datang”.
“Proses tersebut akan meningkatkan kualiti kewartawanan Malaysia”.
Beliau memberitahu tajaan bernilai RM300,000 setahun itu digunakan sepenuhnya bagi membiayai hadiah wang tunai yang ditawarkan kepada para pemenang HKM.
Bagi setiap kategori, pemenang utama akan menerima hadiah wang tunai RM 10,000, sijil dan trofi. Dua penerima saguhati pula masing-masing menerima RM1,000 dan sijil penghargaan. Pemenang Hadiah Kajai dan Tokoh Wartawan Negara pula akan membawa pulang RM 30,000, trofi dan sijil.
Majlis penyampaian HKM 2017 akan berlangsung pada 13 Julai bertempat di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.
PETRONAS adalah penaja utama HKM sejak 1994.
Edisi HKM 2017, MPI menerima 347 penyertaan untuk 19 kategori yang dipertandingkan.