PETRONAS terus taja Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM)
PETRONAS, penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) sejak 20 tahun lalu, bersetuju untuk menyambung penajaan setelah tempoh penajaan berakhir bagi edisi HKM 2013.
Persetujuan untuk meneruskan tajaan HKM ini dizahirkan oleh Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS, Liz Kamaruddin pada satu mesyuarat yang diadakan dengan MPI di ibu pejabat PETRONAS pada 7 Mei 2015.
1. Liz Kamaruddin, mempengerusikan mesyuarat HKM.
Bagi HKM MPI-PETRONAS 2014 yang hadiah para pemenang akan disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia 2015 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, PETRONAS bersetuju untuk mengekalkan hadiah wang tunai bernilai RM300,000.00.
Bagaimanapun bagi HKM 2015 dan seterusnya, kuantum tajaan akan dibincangkan kemudian antara PETRONAS dan Malaysian Press Institute (MPI) selaku penganjur HKM selepas penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2015 selesai.
Jumlah sebenar tajaan akan mengambil kira perubahan-perubahan yang dicadangkan oleh MPI untuk memperbaharui kategori HKM meliputi penyertaan kewartawanan radio dan kewartawanan media baharu, selain membabitkan pemberian dua hadiah sagu hati bagi pemenang kedua dan ketiga.
Liz memberitahu pada prinsipnya syarikat minyak nasional itu menyatakan kesediaan untuk kekal sebagai penaja utama (title sponsor) bagi HKM, tetapi tidak menolak kemungkinan membenarkan MPI mengusahakan penaja lain bagi membolehkan HKM menawarkan hadiah wang tunai yang lebih lumayan kepada para pemenang hadiah kewartawanan tertua pada peringkat nasional di negara ini.
“Saya sendiri bersedia untuk membantu mengusahakan penaja-penaja lain yang sedia bekerjasama dengan PETRONAS dan MPI,” kata Liz.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya yang memimpin rombongan MPI pada mesyuarat itu menyambut baik saranan Liz dan berjanji akan mengemukakan cadangan HKM yang baharu secepat mungkin kepada pihaknya.
“Majlis Pentadbir MPI akan mengadakan sesi lampas otak untuk memikirkan bentuk baharu HKM dan sekiranya pihak PETRONAS bersetuju, kami akan membabitkan mereka,” ujar Datuk Dr. Chamil dalam kenyataan balas.
Liz menyatakan kesediaan untuk terbabit dalam merangkap format HKM 2015 dan seterusnya.
Dalam mesyuarat itu, rombongan MPI turut disertai oleh Setiausaha merangkap Bendahari MPI, Datuk Mustapa Omar yang juga adalah Pengarang Kumpulan Harian Metro dan dua orang ahli Majlis Pentadbir MPI iaitu Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Wahab dan Pengarang Kanan Perunding dan Hal Ehwal Perundangan akhbar The Star, T. Selva.
Pada pihak PETRONAS, selain Liz, turut serta dalam mesyuarat itu ialah Irwan Abd Rahman, Pengurus Perhubungan Media, Komunikasi Luaran; Ahmad Ridzuan Shamsudin, Ketua Komunikasi Eksekutif dan Saiful Amri Abdullah, Pengurus Kanan, Jabatan Pengurusan Jenama.
2. Chamil (berjaket hitam membelakang kamera) sedang memberi taklimat mengenai cadangan baharu HKM MPI kepada pegawai-pegawai Petronas yang diketuai oleh Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Komunikasi Strategiknya, Liz Kamaruddin (dua dari kanan menghadap kamera).
Mesyuarat itu diadakan atas permintaan MPI memandangkan penajaan HKM oleh PETRONAS berakhir pada 2013 dan setelah tiada perkhabaran mengenai permohonan MPI supaya penajaan itu disambung.
PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994. Selama 10 tahun sehingga 2004, nilai tajaannya adalah sebanyak RM70,000.00 setahun. Pada 2005, nilai tajaan tahunan itu dinaikkan menjadi RM150,000.00 dan seterusnya kepada RM300,000.00 setahun.
3. 1994: Penajaan PETRONAS untuk HKM bermula. Jumlah tajaan RM70,000.00. Persetujuan penajaan ditandatangani pada 5 Julai 1994. PETRONAS diwakili oleh Presidennya, Tan Sri Azizan Zainal Abidin, MPI oleh Pengerusinya Tan Sri Mazlan Nordin.
2005: PETRONAS memperbaharui tajaan dengan ganjaran yang lebih besar iaitu RM150,000.00. Majlis menandatangani perjanjian diadakan pada 19 Oktober 2005. PETRONAS diwakili oleh Presidennya, Tan Sri Hassan Merican; MPI oleh Pengerusinya, Datuk Ahmad A. Talib. HKM ditukar nama menjadi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS.
4. 2009 : Jumlah tajaan meningkat kepada RM300,000.00 setahun. PETRONAS diwakili oleh Encik Mohd Azhar Osman Khairuddin, Pengurus Besar Kanan Bahagian Perundangan dan Hal Ehwal Korporat Petronas manakala MPI oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chamil Wariya. Majlis turut disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican.
HKM pertama kali diperkenalkan pada 1980 untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia.
Majlis penyampaian hadiah yang pertama diadakan pada 17 September 1981 oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam. Sejak 1981, HKM telah dianjurkan oleh MPI tanpa henti.
5. Keratan akhbar yang mengumumkan Hadiah Kewartawanan Malaysia pada 1981.
PETRONAS mengambil alih penajaan HKM daripada Malayan Tobacco Company (MTC) yang merupakan penaja HKM antara 1980 hingga 1993.