KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) menganjurkan Majlis Apresiasi Media 2026 sebagai penghargaan terhadap sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan zakat.
Kerjasama itu turut menyaksikan penyerahan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan dan surau yang berkaitan dengan komuniti media, dengan setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM5,000.
Selain itu, bantuan zakat turut disalurkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan sokongan kewangan, khususnya dalam menampung kos rawatan perubatan.
Majlis berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada pengamal media menerusi penyampaian hadiah kepada pemenang kategori Media Cetak dan Portal Berita serta Media TV dan Video Dalam Talian.
Bagi kategori Media Cetak dan Portal Berita, Mohd Nazmi Yaakub daripada Berita Harian meraih tempat kedua, manakala Latifah Arifin, juga daripada Berita Harian, menerima hadiah saguhati.
Sementara itu, pasukan TVS muncul sebagai pemenang bagi kategori Media TV dan Video Dalam Talian.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen PPZ-MAIWP dan MPI dalam memperkukuh hubungan strategik dengan pengamal media, selain menghargai peranan penting mereka sebagai rakan penyampai maklumat kepada masyarakat.








