PR SEBAGAI JURUTEKNIK MEDIA
Oleh PUAN NUR RAMIZAH ABDUL AZIZ.
Media sosial masa kini menjadi medium terpantas untuk berkongsi segala maklumat dan berita oleh institusi kerajaan, swasta mahupun individu. Segala bentuk maklumat mudah diperolehi apabila ianya dikongsikan oleh pihak-pihak berkenaan, tambahan pula maklumat atau berita tersebut viral di media sosial.
Peranan pihak perhubungan awam kerajaan khususnya adalah untuk menyampaikan maklumat dan berita yang sahih dan tepat agar ianya sampai kepada pembaca tanpa menimbulkan sebarang konflik atau krisis. Namun begitu, tidak semua maklumat dan berita dapat dizahirkan secara telus kerana berkemungkinan ada pihak lain yang memanipulasi berita dan maklumat tersebut sehingga timbulnya kekeliruan dan isu berbangkit kepada pembaca. Paling menggerunkan apabila terdapat sekian banyak wartawan warga yang bertindak sebagai penyebar maklumat kurang tepat di kalangan pelayar media.
Bagi menangani dan mengatasi konflik media seumpama ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) telah menganjurkan kursus Pengurusan Krisis dan Kandungan Media Sosial secara atas talian pada 7 September 2021.
Seramai 45 orang wakil pegawai perhubungan awam dari JPA telah menghadiri kursus ini. Kursus satu hari ini telah dipimpin oleh Ainol Amriz Ismail atau lebih mesra disapa Hj Bro. Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pengurusan media dan kewartawanan telah berkongsi banyak tips dan kaedah terbaik untuk menghasilkan berita yang beretika serta cara menguruskan krisis kandungan media sosial.
Pada sesi pagi kursus para peserta didedahkan dengan teknik penulisan berita viral yang boleh dipraktikkan untuk menghasilkan input yang akan dikejar oleh pembaca. Pada sesi ini juga para peserta diminta untuk menyediakan satu ringkasan berita viral yang boleh menarik pembaca.
Peserta turut didedahkan dengan teknik penulisan kandungan kreatif yang berupaya untuk menjadi tarikan kepada pembaca untuk terus melekat di ruangan media sesuatu agensi. Hj Bro juga berkongsi kaedah menangani sebarang konflik atau isu berbangkit sekiranya terdapat mana-mana berita yang dikongsikan bersifat sensitif.
Sesi petang pula menyaksikan Hj Bro mengulas berkenaan hubungan pihak perhubungan awam dengan wartawan dan media. Perhubungan awam ibarat juruteknik, pakar penentu dan penyelesai masalah kepada media berkait dengan sebaran maklumat dan berita sahih. Dalam sesi ini Hj Bro berkongsi kaedah menangani krisis yang timbul dari isu sensitif dan bagaimana JPA sendiri dapat menangkis krisis tersebut dengan kerjasama baik antara pihak JPA dan media.
Semua peserta dilihat teruja dengan sesi kursus ini dan masing-masing secara interaktif telah menjalani kursus dengan jayanya. Melalui penilaian yang diberikan rata-rata peserta berpuas hati dengan isi kandungan kursus yang informatif serta penyampaian penceramah yang bersemangat dan berpengalaman.
RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR