MPI release
PRESIDEN SAMBUT BAIK CADANGAN TV ALHIJRAH

PRESIDEN SAMBUT BAIK CADANGAN TV ALHIJRAH

4 Sept, Kuala Lumpur — Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong, menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Namanzee Haris, untuk memperkenalkan anugerah khas bagi komuniti media sosial. Cadangan ini selaras dengan trend semasa di mana masyarakat semakin bergantung kepada platform media sosial untuk mendapatkan berita secara pantas dan mudah.

Menurut Namanzee, MPI boleh memainkan peranan penting sebagai peneraju industri dalam memastikan kesahihan dan ketepatan berita yang disiarkan melalui media sosial. Usaha ini, menurut beliau, mampu mengurangkan penyebaran berita palsu, selain menggalakkan lebih ramai wartawan warga atau citizen journalists menyertai industri media.

Tambah beliau, TV AlHIjrah sedia bekerjasama dengan MPI sebagai penyiar rasmi Malam Wartawan Malaysia iaitu acara tahunan yang mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik pengamal media tempatan. Kerjasama ini dilihat sebagai penghormatan tertinggi buat industri media.

Pertemuan yang berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis Pentadbir MPI, Encik Mohd Azri Atan dan Puan Sri Diah. Wakil pengurusan TV AlHijrah yang hadir termasuk Puan Nadzariah Mohamed, Ketua Pegawai Operasi; Haji Saifulizan Sidek, Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat; Haji Ardi Herman, Pengurus Jabatan Berita dan Ehwal Semasa; Puan Faraliza, Pengurus Jabatan Kandungan; Haji Zaim Zamani, Wartawan Penyiaran; serta Haji Salehuddin Jurimi, Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif.

Datuk Yong menyampaikan sijil keahlian TV AlHijrah kepada Tuan Namanzee Haris.
MPI bersama TV Al Hijrah bergambar kenangan sebaik tamat perbincangan.

Dari kiri : Zaim, Yusof, Shima, Norhafiza, Nur Ramizah, Mohd Azri Atan, Sri Diah Shaharuddin, Datuk Yong, Namanzee Haris, Nadzariah, Norlida, Ardi, Saifulizan dan Salehuddin.