PROGRAM KETIGA MPI DI SELATAN SEMENANJUNG
Bengkel Tampil Berwibawa di Hadapan Kamera adalah kursus ketiga anjuran MPI dalam kalender kursus tahun 2021 bertujuan memberikan pendedahan kepada pegawai Jabatan Penerangan Negeri Johor, pegawai kerajaan Negeri Johor, agensi berkaitan kerajaan Negeri Johor dan pengamal media di selatan semenanjung Malaysia.
Seramai 18 orang peserta dari Jabatan Penerangan Malaysia Johor, Bernama, Pejabat Menteri Besar Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri , PIJ Holding, Ranhill SAJ Sdn Bhd dan Johor Corporation telah mengikuti bengkel ini pada 27 dan 28 Mac 2021 bertempat di Thistle Hotel Johor Bahru, Johor.
Bengkel 2 hari ini dibimbing oleh Yusanani Yushak, mantan wartawan siaran dan peneraju program buletin utama TV3.
Selama 2 hari pelaksanaan bengkel, para peserta didedahkan dengan pelbagai tip, panduan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan media dengan berkesan serta persediaan berhadapan dengan kamera yang melibatkan latihan praktikal sidang media, laporan berita di lokasi dan program bual bicara.
Melalui 3 kaedah praktikal yang berbeza, simulasi latihan para peserta dirakamkan oleh jurukamera dan dipertontonkan semula. Penceramah akan memberikan komen kepada para peserta untuk menambahbaik persembahan dari satu sesi ke sesi berikutnya sebagai persiapan kepada para peserta sekiranya diperlukan menjadi jurucakap untuk organisasi masing-masing.
Melalui penilaian kursus dan maklumbalas yang diterima dari para peserta, mereka mengakui keberkesanan penganjuran bengkel ini dan berharap ianya dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi peluang kepada lebih ramai pegawai kerajaan mahupun swasta dapat mengikuti bengkel ini.