Program Sarjana UUM-MPI terus dapat sambutan

Program ijazah Sarjana Sains (Komunikasi Kepengurusan) atau Master of Science (MSc) Managerial Communication  Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dijayakan dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) khusus untuk penggiat industri kreatif, termasuk bidang kewartawanan terus mendapat sambutan memberangsangkan.

Terbaharu, empat pelajar program khas ijazah sarjana muda komunikasi yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka dengan mendapat kepujian kelas pertama dan kelas dua atas serta dua orang wartawan Kumpulan Karangkraf menyatakan minat untuk mengikuti program yang diadakan di kampus cawangan UUM di Kuala Lumpur.

Enam orang bakal pelajar itu hadir pada satu majlis taklimat mengenai program ijazah sarjana itu yang diadakan di MPI pada 10 Disember 2013. Mereka ialah Zehra Zambri (penyanyi) , Nor Shazana Abd. Talib (penulis skrip), Mohamad Naim Hashim (penyampai berita Suriafm), Suffian Amrin (DJ Ikimfm), Wan Khairul Nazman (Karangkraf) dan Shahrom Abdul Aziz (Karangkraf).

Taklimat diberi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.

Hadir sama Ahli Majlis Pentadbir MPI, yang juga pengarang bersekutu akhbar The Star, Encik T. Selva.

Pada taklimat itu, para peserta, antara lain, telah diberi keterangan mengenai kelayakan kemasukan, subjek yang akan dipelajari dan pembiayaan yuran pengajian melalui program Mybrain15 Kementerian Pendidikan.

Borang permohonan serta risalah mengenai program sarjana yang disediakan oleh Jabatan Komunikasi UUM juga turut diedarkan kepada mereka.

Program  MSc Komunikasi Kepengurusan itu diperkenalkan pada September 2012 pada mulanya khusus untuk golongan wartawan dan pengamal perhubungan awam dan komunikasi korporat.

Setakat ini 25 orang pelajar sedang mengikuti program tersebut – 11 orang terdiri daripada kumpulan pertama yang memulakan pengajian pada September 2012; 7 orang kumpulan kedua pada semester  April 2013 dan 7 orang lagi mulai September 2013.

Kumpulan pertama dijadual akan menamatkan pengajian masing-masing pada pertengahan 2014.

Durasi program ialah satu tahun setengah atau lima semester. Setiap semester para pelajar akan mengikuti tiga subjek.  Empat puluh tiga jam kredit (43) diperlukan untuk menamatkan pengajian. Pada semester kelima atau semester akhir, setiap pelajar dikehendaki menyiapkan satu kertas projek mengenai topik pilihan mereka.

Yuran pengajian sepanjang lima semeter itu pula sekitar RM15,000.

Sebahagian besar pelajar yang mengikuti  program itu sehingga kini terdiri daripada para wartawan. Selebihnya adalah bukan kalangan wartawan kerana program itu juga kini dibuka kepada mana-mana pemegang ijazah pertama yang berminat.

Turut hadir pada taklimat yang diadakan di MPI pada 10 Disember 2013 itu untuk berkongsi pengalaman  mengenai program Sarjana Sains Komunikasi  Kepengurusan UUM ialah Yusanani Yushak, yang mula mengikuti program Sarjana itu mulai September 2013.

Yusanani adalah salah seorang pelajar program khas ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi UUM yang memperoleh ijazah kelas pertama dengan CGPA tertinggi iaitu 3.97 pada konvokesyen kali ke-26 UUM pada 30 November.

Sebagai mengiktiraf kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan kegiatan ko-kurikulum yang dianjurkan sepanjang belajar di UUM, Yusanani turut dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis konvokesyen itu. Beliau membawa pulang hadiah berupa sekeping pingat emas dan wang tunai RM5,000 sumbangan Majlis Raja-Raja Malaysia.

Hadiah Anugerah Pelajaran Diraja telah disampaikan sendiri oleh Canselor UUM iaitu Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada hari pertama konvokesyen manakala ijazah kelas pertama pula disampaikan oleh Pro-Canselor UUM, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada hari kedua konvoksyen.

Sebagai  pemegang ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama, Yusanani turut menerima hadiah pingat emas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UUM.

Selain Yusanani, 12 orang pelajar program khas komunikasi UUM itu turut menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ke-26 UUM itu.

Taklimat Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan UUMMPI pada 10 Disember 2013

1. Dari Kanan : T. Selva, Dato’ Chamil Wariya, Yusanani Yushak, Zehra Zambri, Nor Shazana, Mohamad Naim, Wan Khairul, Suffian Amrin, Shahrom Abdul Aziz.

2. Dari kanan : Yusanani Yushak berkongsi pengalaman  mengenai program Sarjana Sains Komunikasi  Kepengurusan UUM dengan Zehra Zambri, Nor Shazana dan Mohamad Naim.

3. Dari kanan : Mohamad Naim, Wan Khairul, Suffian Amrin, Shahrom Abdul Aziz, T. Selva ketika mendengar penerangan mengenai program Sarjana Sains Komunikasi  Kepengurusan UUM.