7 peserta terbaik Rebuilding Public Trust in the Media, ikuti kursus kali kedua
Tujuh peserta terbaik kursus “Rebuilding Public Trust in the Media 1.0” yang diadakan pada 24-28 Jun 2019, terpilih untuk mengikuti program kedua pada tahap advanced, bermula 2 September lalu.
Program kali kedua itu selama empat hari anjuran bersama Malaysian Press Institute dan Language House berlangsung hingga 5 September 2019 bertempat di The Language House, Petaling Jaya.
Mereka ialah: Ali Imran bin Mohd. Noordin (BERNAMA), Mazlina Ismail (IKIM), Vanissa Gangadaran (Star), Asyraf bin Muhammad (Sinar Harian), Idham bin Ishak (Jabatan Penerangan Malaysia), Yokananthini a/p Murugeesan (Jabatan Penerangan Malaysia) dan Dahliana Abdul Latiff @ Alia (The Language House).
Pemilihan 10 peserta terbaik program tersebut dibuat oleh pengendali program Encik Eric Wishart dari AFP Hong Kong berdasarkan prestasi mereka dalam program pertama dahulu.
Bagaimanapun tiga orang lagi peserta tidak dapat mengikuti program kali kedua kerana komitment kerja yang lain.
Kursus kali kedua dengan kerjasama AFP ini telah dikendalikan oleh penceramah yang sama iaitu Encik Eric Wishart, bekas ketua pengarang dan pengarang projek khas AFP.
Kursus meliputi kuliah dan latihan amali di lapangan.
Para peserta yang menghadiri kedua-dua program pertama dan kedua menerima sijil kehadiran masing-masing pada akhir program yang disampaikan sendiri oleh Eric Wishart.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam ucapan alu-aluan pada 2 September memuji semangat tinggi para peserta kerana hari pertama kursus kebetulan jatuh pada hari cuti umum menyambut Maal Hijrah.
“Saya kagum dengan pengorbanan yang saudara-saudara tunjukkan untuk mengikuti kursus ini pada hari cuti umum. Sikap ini membayangkan komitment besar anda semua untuk maju dalam kerjaya masing-masing dalam bidang kewartawanan,” kata Chamil.