Rais sokong penubuhan Galeri Kewartawanan Malaysia

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menyatakan sokongan beliau pada usul penubuhan Galeri Kewartawanan Malaysia yang dicadangkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dan Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), UiTM ketika sesi pertemuan singkat diadakan bersama beliau baru-baru ini. Beliau turut menganggarkan sekurang-kurangnya RM2 juta diperlukan bagi merealisasikan penubuhan galeri ini.

Pertemuan tersebut diadakan di pejabat beliau dihadiri oleh ; YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI; En. T. Selva, Ahli Majlis Pentadbir MPI/Pengarang Perunding Kanan Latihan, Star Media Group; En. Amirul Akhbar Zulkifli, Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS) dan En. Ahmad Farami Abdul Karim, Felo Institut Pengajian Kewartawanan (IJS). Turut hadir ialah Puan Nuzatul Shima Sulaiman, Pengurus Pembangunan dan Pemasaran MPI dan Dr. Khamis Mohamad, pengkaji keris, persenjataan dan busana Melayu.

Menurut Tan Sri Rais, usaha sebegini perlu disokong dan wajar diberi bantuan memandangkan dalam arus kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini, tanpa disedari identiti budaya bangsa Melayu dan masyarakat majmuk di Malaysia kian dilupakan dalam pelbagai perkara dan aspek termasuklah industri media.

Apatah lagi media cetak seperti akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, Harian Metro dan KOSMO! yang pernah menggungguli carta sirkulasi kini semakin menurun dan berkurangan pembaca masing-masing. Situasi ini amatlah membimbangkan kerana akhbar atau media yang menjadi cermin kepada warisan budaya dan perpaduan kaum di Malaysia semakin hilang pengaruhnya.

Menurut beliau lagi, penubuhan Galeri Kewartawanan ini dilihat sekurang-kurangnya dapat membantu usaha memulihara informasi, grafik dan artifak kewartawanan yang telah membentuk budaya bangsa dan membawa kepada pembangunan negara sejak zaman kemerdekaan sehinggalah ke hari ini.

Tan Sri Rais menyarankan MPI dan IJS segera menyediakan kertas konsep lengkap beserta anggaran kos perbelanjaan agar beliau dapat memajukannya pula kepada pihak Kerajaan bagi mendapatkan dana. Berdasarkan pengalaman beliau, paling kurang RM2 juta diperlukan kerana ia termasuk kos premis, tenaga pakar artifak, jurucerita dan seni mempamer.

Beliau berjanji untuk mengusahakan satu pertiga kos membina galeri kewartawanan MPI-IJS itu daripada pihak kerajaan. Beliau sendiri akan bertemu dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri membawa kertas cadangan MPI itu nanti bagi meyakinkan mereka supaya menyokong usaha MPI-IJS.

Selain itu, Tan Sri  Rais mencadangkan kerjasama bersama ketua-ketua pengarang boleh juga dijalin untuk mendapat dan memperbanyakkan lagi kandungan atau bahan pameran.  Beliau sendiri akan turut menyumbang koleksi beberapa bahan berita akhbar-akhbar yang telah ditutup seperti Utusan Melayu dan Watan.

Mengenai hal tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya memaklumkan MPI dan IJS telahpun mengambil langkah awal dengan menjalin kerjasama bersama Malaysian Newspaper Publishers Association (MNPA) yang dipengerusikan oleh Dato’ Mohammad Azlan Abdullah pada pertengahan Julai lalu.

Pada akhir pertemuan, Tan Sri Rais turut memberikan pandangan mengenai cabaran menarik minat pengunjung ke galeri ini setelah siap nanti memandangkan di negara kita, budaya berkunjung ke muzium/galeri ilmu masih kurang menjadi amalan.

“Baguslah merancang dan berusaha tapi janganlah terlalu ‘ambitious’”, pesan beliau. “Tetapi daripada tiada, baiklah bermula dari sekarang walaupun dalam premis kecil”, beliau menambah. Untuk itu, Datuk Dr. Chamil dan En. Amirul bersetuju bagi langkah permulaan, menjadikan sebahagian kawasan premis institusi masing-masing sebagai Galeri Kewartawanan.

 

FOTO-FOTO :

dua-juta-01

Dari kiri : En. Ahmad Farami Abdul Karim, Felo Institut Pengajian Kewartawanan (IJS); En. Amirul Akhbar Zulkifli, Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS); YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim; YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI dan  En. T. Selva, Ahli Majlis Pentadbir MPI. Turut kelihatan ialah Dr. Khamis Mohamad, pengkaji keris, persenjataan dan busana Melayu (paling kanan).

 

dua-juta-02YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim memberi ucapan ringkas ketika mengalu-alukan kedatangan rombongan MPI-IJS

dua-juta-03YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya menyampaikan cenderahati berbentuk buku-buku terbitan MPI terkini kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

 

dua-juta-04YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim berbalas cenderahati berbentuk beberapa buku dan cakera padat terbitan Yayasan Warisan Negara kepada YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya dan wakil-wakil lain.

 

dua-juta-05Wakil-wakil MPI dan IJS merakam kenangan bersama YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Dari kiri : Puan Nuzatul Shima Sulaiman, Pengurus Pembangunan dan Pemasaran MPI; En. Ahmad Farami Abdul Karim, Felo Institut Pengajian Kewartawanan (IJS); En. Amirul Akhbar Zulkifli, Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS); YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim; YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI dan  En. T. Selva, Ahli Majlis Pentadbir MPI. Turut kelihatan ialah Dr. Khamis Mohamad, pengkaji keris, persenjataan dan busana Melayu (paling kanan).