ROMBONGAN SURUHANJAYA TINGGI AUSTRALIA KUNJUNGI MPI

MPI mengalu-alukan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia bagi menganjurkan program mengenai media dan kewartawanan.

Ini termasuk berkongsi pengalaman mengenai reformasi media dan fungsi Majlis Akhbar Australia yang boleh dipelajari oleh pengamal media Negara ini yang sedang mendayausahakan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya memberitahu program yang dicadangkan itu boleh berbentuk bengkel, seminar dan ceramah oleh pakar-pakar media dari Australia.

Beliau berkata demikian pada pertemuan dengan rombongan Suruhanjaya Tinggi Australia yang mengadakan kunjungan ke pejabat MPI di Cyberjaya pada 3 Oktober 2018 lalu.

Rombongan itu diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia, Mr Michael Growder. Turut sama ialah Setiausaha Kedua, Ms Katelyn Hornby serta Pegawai Perhubungan Media, Puan Shahidah Syed. Selain Chamil, turut hadir mewakili MPI dalam perbincangan tersebut ialah Dr. Mohd Safar Hasim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pengurus Pemasaran dan Pembangunan, Puan Nuzatul Shima Sulaiman, Pengurus Latihan, Puan Norhafiza Kamaludin dan Setiausaha Pentadbiran, Puan Nur Ramizah Abdul Aziz.

Pada majlis tersebut Michael Growder telah memberi penerangan terperinci mengenai peranan Majlis Akhbar Australia dan teruja dengan usaha media Malaysia untuk menubuhkan majlis medianya sendiri berikutan kejayaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas memenangi PRU ke 14 pada 9 Mei lalu.

Beliau percaya majlis seumpama itu adalah penting bagi mewujudkan kebebasan media di Negara ini dan pihaknya berharap usaha tersebut akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

 

1. Datuk Chamil menjelaskan fungsi MPI kepada delegasi Kedutaan Australia.
2. Gambar kenangan bersama delegasi Kedutaan Australia.