Kursus
SAMBUTAN LUAR BIASA KURSUS MEDIA & UNDANG-UNDANG

SAMBUTAN LUAR BIASA KURSUS MEDIA & UNDANG-UNDANG

Walaupun negara sedang berdepan dengan kemelut pandemik COVID-19 dan masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3.0 (PKP 3.0), ianya tidak mematahkan semangat para peserta untuk sertai Kursus Media & Undang-Undang anjuran Malaysian Press Institute (MPI).

Mana tidaknya, 61 orang peserta yang terdiri daripada wartawan, ahli akademik dan pegawai kerajaan dan korporat telah menyatakan kehadiran ke kursus tersebut walau diadakan secara atas talian. Kursus yang berlangsung pada 23 dan 24 Jun 2021 yang merupakan program pertama MPI masa PKP 3.0 yang menguatkuasakan perintah berkurung telah mendapat sambutan yang sangat luar biasa. Mungkin juga tarikan penceramah yang membuatkan kursus ini berjalan dengan jayanya.

Kursus selama dua hari secara maya telah sukses dijalankan di bawah bimbingan penceramah jemputan MPI, Prof. Datuk Salleh Buang, mantan peguam persekutuan Malaysia. 61 orang peserta begitu teruja dan bersemangat mengikuti kursus ini dan masing-masing memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang kursus berlangsung.

Pada hari pertama, penceramah lebih menumpukan kepada pengenalan media dan undang-undang diikuti dengan ulasan panjang lebar berkenaan Akta Cetak & Penerbitan serta topik Fitnah dan Hasutan. Sesi sebelah petang diteruskan dengan tugasan kepada peserta iaitu menjawab soalan kuiz.

Hari kedua pada sesi pagi pula diteruskan dengan topik Penghinaan Mahkamah dan Undang-Undang Penyiaran/Plagiarisma/Media Baharu. Penceramah turut menyelitkan pengalaman beliau menangani kes-kes berkaitan dan peserta turut bertanyakan soalan berkenaan topik yang dibincangkan.

Tugasan berkumpulan diadakan pada sebelah petang di mana para peserta seramai 61 orang telah ditetapkan dalam 10 kumpulan untuk menyelesaikan 10 soalan berkaitan media dan undang-undang yang telah disediakan oleh penceramah. Kerja berpasukan oleh semua peserta berjaya diselesaikan walaupun perbincangan dibuat secara dalam talian (WhatsApp Group) dan banyak ilmu serta perkara baru dipelajari dari tugasan berkumpulan tersebut

Rata-rata semua peserta berpuas hati dengan kursus ini walaupun ianya dijalankan secara maya. Mereka berharap kursus seumpama ini dapat diteruskan dengan beberapa penambahbaikan yang difikirkan sesuai dengan konsep atas talian ini.

Untuk rekod, 61 peserta adalah terdiri daripada NSTP (7), Jabatan Penerangan Malaysia (16), Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak (11), RTM (10), Media Sarawak (10), PETRONAS (3), dan masing seorang peserta dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Johor Corporation, Siakap Keli dan pensyarah dari Universiti Sains Malaysia.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

1. Sesi hari pertama peserta bersama penceramah, Prof Datuk Salleh Buang.
2. Ulasan penceramah berkenaan topik Fitnah dan Hasutan.
3. Peserta dari DBP, Afiqah Harithuddin sedang menjawab soalan kuiz daripada penceramah pada hari pertama.
4. Persembahan berkumpulan oleh Mohd Dzikrullah Junus dari Jabatan Penerangan Malaysia mewakili kumpulan A.
5. Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya turut singgah untuk meninjau progres kursus.
6. Sebahagian peserta merakamkan grup foto bersama penceramah pada akhir kursus.
Terima kasih semua!