Saya dan kewartawanan – cerita A Kadir Jasin
Angka 16 nampaknya mempunyai signifikan yang tersendiri bagi Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia 2011, Datuk A. Kadir Jasin. Pada 16 Jun 1969, beliau menyertai dunia kewartawanan sebagai pemberita kadet dengan Bernama. Pada 16 Jun 2012, beliau merayakan ulang tahun ke 43 dalam bidang itu. Sebulan kemudian pada 16 Julai 2012, Datuk A. Kadir diangkat sebagai Tokoh Wartawan Negara pada satu majlis yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sempena 43 tahun Datuk Kadir berkecimpung dalam bidang kewartawanan pada 16 Jun 2012, beliau mengenang semula perjalanan ke dunia itu dalam blognya The Scribe. Diperturunkan berikut ini catatan nostalgik beliau itu.
HARI ini, 16 Jun 2012 genaplah 43 tahun saya menjadi wartawan.
Pada pagi hari ini, dalam tahun 1969, saya melaporkan diri di Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sebuah banglo lama di Jalan Tun Abdul Razak.
Ketika itu, lebuh hias ikonik itu lebih dikenali sebagai Circular Road atau sekali-sekala disebut Jalan Pekeliling.
Saya datang dengan bas dan kereta api. Dengan bas dari kampung saya, Tanah Merah, Mukin Guar Kepayang, Pendang (ketika itu Kota Star) ke Butterworth. Dari situ, dengan Kereta api Tanah Melayu menggunakan waran kelas tiga yang dikeluarkan oleh Bernama.
Emak, kanak dan adik-adik menitiskan air mata. Allahyarham ayah memberi pesan sambil menadah tangan ke langit memohon keberkatan. Dia memberikan saya duit saku RM25.
Itulah yang dia mampu. Alhamdulillah, saya ada beberapa ratus ringgit dalam Post Office Savings Bank hasil lebihan biasiswa kecil Tingkatan Enam sebanyak RM50 sebulan.
Kalau hari ini ibu bapa berpesan kepada anak-anak mereka: “Buatkan kami berasa bangga” atau “Make us feel proud”, pesan mutakhir ayah kepada saya adalah “jangan bagi malu keturunan kita.” Bukan alang kepalang pesanan. Bukan sekadar jangan malukan diri atau ibu bapa, tetapi jangan aibkan keturunan.
Peristiwa 13 Mei baru sebulan berlalu dan Kuala Lumpur masih dalam ketakutan. Pergaduhan kecil dan perbuatan membakar masih berlaku di sana sini.
Di rumah mayat Hospital Besar Kuala Lumpur masih ada mayat mangsa pergaduhan yang belum dituntut. Sesetengahnya kerana tidak dapat dicamkan manakala yang lain tidak diketahui siapa warisnya.
Di situlah saya melihat iaitu, di saat-saat tragis dan duka, manusia tidak kenal bangsa. Saya melihat ibu Melayu, Cina dan India sama-sama meratap dan berpelukan apabila datang menuntut mayat anak-anak mereka yang beberapa hari sebelum itu saling berbunuhan.
Asap dan abu mengalu-alukan pelawat dan orang yang lalu-lalang di jalan dan lorong yang memisahkan Melayu dan Cina di Kampung Baru, Setapak dan Kampung Pandan.
Mula-mula saya tinggal dengan sepupu saya di rumah setinggan Kampung Pandan. Dia bekerja sebagai pengawal (jaga) syarikat perlombongan. Kita mandi dan mencuci pakaian di kolam lombong atau menggunakan air hujan yang ditakung.
Selepas itu, saya pindah ke rumah setinggan sepupu yang lain di Kampung Kerinchi. Untuk mandi, kita menyeberang jalan Kuala Lumpur-Petaling Jaya yang kemudiannya dinaikkan taraf menjadi Federal Highway. Kita mandi di anak sungai yang mengalir di sempadan Universiti Malaya.
Itulah permulaan kerjaya kewartawanan saya 43 tahun lalu. Perjalanan sudah lama dan jauh; dari pinggir Sungai Pendang yang layu ke muara Rio de la Plata di Amerika Selatan, Sungai Danube di Eropah dan Mississippi, Amerika Syarikat.
Dari era mesin taip Royal dan Olivetti kepada mesin taip elektrik IBM dan komputer riba. Dari era telefon awam kepada teleprinter telefon pintar dan komunikasi Internet. Dari era Perang Dingin yang tegang dan berideologi kepada era pasca-Perang Dingin yang anarkis dan penuh pertumpahan darah.
Di atas semua itu, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya keselamatan, kesihatan dan kecekalan, dan berterima kasih kepada begitu ramai ahli keluarga, guru dan mentor, penyelia dan ketua, kawan dan taulan, pekerja dan majikan DAN, yang paling utama, pembaca setia. Terima kasih.