Siaran langsung HKM 2016 menerusi facebook MPI
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016 (HKM 2016) akan disiarkan secara langsung menerusi facebook Malaysian Press Institute iaitu https://www.facebook.com/mympi pada 21 April 2017.
Pengurus Kanan Operasi MPI, Puan Norlida Jamain memberitahu, siaran langsung tersebut bermula pada jam 8.30 malam, sejurus selepas tetamu kehormat, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan tetamu VIP yang lain mengambil tempatnya di Dewan Utama Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur di mana Malam Wartawan Malaysia 2017 (MWM 2017) diadakan.
700 orang tetamu dijangka menghadiri acara tahunan anjuran MPI itu. Malam Wartawan pertama kali diadakan pada 16 September 1981 untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Anugerah Wartawan 1980, yang kemudian bertukar nama menjadi HKM.
Norlida berkata, malam tersebut bermula dengan ucapan alua-aluan oleh Pengerusi MWM 2017, Datuk Dr. Chamil Wariya. Ini akan diikuti oleh ucapan Dato’ Sri Najib.
Sambil tetamu menikmati jamuan, mereka akan dihiburkan persembahan hiburan oleh artis yang sedang dikenal pasti.
Majlis penyampaian hadiah bermula selepas itu. Penyampaian hadiah bagi 20 kategori akan dibahagian kepada lima segmen.
Empat segmen pertama, para pemenang akan menerima ganjaran masing-masing daripada ketua-ketua pengarang terpilih.
Turut menyampaikan hadiah ialah Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin. PETRONAS ialah penaja HKM sejak 1994.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, selaku penaung MWM 2017 juga diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Dato’ Sri Mohd Najib pula akan menyampaikan dua hadiah utama HKM 2016 – Hadiah Kajai dan Tokoh Media 2016.
Sebagai kenangan, para pemenang turut berkesempatan untuk bergambar dengan Perdana Menteri di atas pentas selepas majlis penyampaian selesai.