SJA bantu hebah program latihan MPI
Persatuan Wartawan Sabah (SJA) bersedia membantu Malaysian Press Institute (MPI) menghebahkan program latihan dan kegiatan kewartawanan MPI dalam kalangan pengamal media di negeri di bawah bayu itu.
Kesediaan ini dinyatakan oleh Pemangku Presiden SJA, Encik Francis Fahir yang juga Penolong Pengarah Berita dan Ehwal Semasa Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) pada pertemuan minum petang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya di Kota Kinabalu pada pertengahan 2013.
Untuk tujuan itu, pemakluman mengenai kursus-kursus kewartawanan anjuran MPI yang diadakan dari masa ke masa di Kuala Lumpur akan disalurkan kepada SJA dan persatuan itu pula kemudiannya akan menyebarkan pemakluman itu kepada ahli-ahlinya dan juga rakan-rakan wartawan yang lain di Sabah, tidak kira mereka berkhidmat di Kota Kinabalu atau di bandar-bandar utama yang lain di negeri itu.
Kerjasama strategik antara SJA dan MPI ini akan membolehkan wartawan-wartawan Sabah mengikuti pelbagai program latihan yang dikendalikan oleh MPI di luar negeri itu.
Di samping itu kerjasama ini diharapkan dapat menarik minat wartawan Sabah untuk mengemukakan karya-karya kewartawanan masing-masing bagi Hadiah Wartawan Malaysia (HKM) PETRONAS serta anugerah-anugerah media yang lain yang diuruskan oleh MPI.
Ini termasuklah Anugerah Media Kementerian Kesihatan, Anugerah Pelancongan Malaysia, Pertandingan Kewartawanan Pemudah yang baru sahaja dilancarkan dan Anugerah Green Tech.
Penyertaan yang diterima daripada pengamal media Sabah dalam anugerah-anugerah itu boleh dikatakan hampir tidak ada.
Sebagai langkah permulaan menggunakan kesempatan kehadiran Chamil di Kota Kinabalu, Francis telah mengundang Chamil menjadi tetamu satu program siaran langsung Sabahfm yang bertujuan khusus untuk memperkenalkan MPI dan tiga kegiatan terasnya – iatu penyediaan latihan jangka pendek untuk para wartawan, penganjuran hadiah kewartawanan dan penerbitan buku-buku berkait kewartawanan.
Menurut Chamil, SJA dan MPI juga akan memikirkan tentang kemungkinan mengadakan kursus dan bengkel kewartawanan bersama di Kota Kinbalu dan juga di bandar-bandar lain di Sabah. Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga akan dibabitkan dalam program kerjasama yang dirancang itu kelak.
Pada pertemuan minum petang itu, Francis turut ditemani oleh dua orang pegawai RTM Sabah. Mereka ialah Pengurus Sabahfm, Encik Zainuddin Jamilu dan penyiar Sabahfm, Puan Lailah Elok.
Turut serta ialah Dekan Sekolah Sains Sosial UMS, Profesor Datuk Hamdan Adnan dan pegawai khas Naib Canselor UMS, Encik Lokman.
1. Dato’ Chamil Wariya (dua dari kanan) mengadakan pertemuan minum petang dengan Penolong Pengarah Berita dan Ehwal Semasa RTM Sabah, Francis Fahir (kanan), Pengurus Sabahfm, Zainuddin Jamilu (kiri) dan penyiar Sabahfm, Lailah Elok (dua dari kiri) di Kota Kinabalu. Francis adalah Pemangku Presiden Persatuan Wartawan Sabah. Turut serta pada pertemuan itu ialah Profesor Datuk Hamdan Adnan (tiga dari kanan), Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pegawai Khas Naib Canselor UMS, Encik Lokman (sebelah Profesor Hamdan) turut hadir pada pertemuan itu.
2. Chamil (kiri), Francis (tengah) dan Zainuddin (kanan) berbincang mengenai kursus yang hendak dilaksanakan di Sabah.
3. Francis (kanan) dan Zainuddin (kiri) – dua tenaga penting RTM Sabah.