Stigma mengenai HIV dan AIDS boleh dikikis
Stigma berkenaan HIV & AIDS masih menebal dalam diri masyarakat Malaysia dan kita sering memandang serong orang yang hidup dengan HIV/orang yang positif HIV ini.
Atas kesedaran itu, Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Malaysian Aids Council, Malaysian Aids Foundation dan Yayasan Sime Darby menganjurkan bengkel bertajuk “Media Sensitisation Workshop on HIV / AIDS 2017: To Treat HIV Is to End AIDS” bertempat di Bilik Latihan Malaysian Press Institute, Jalan Bukit Ledang Kuala Lumpur.
Bengkel sehari yang diadakan pada 25 Julai 2017 telah berlangsung dengan jayanya dan dihadiri seramai 13 orang pengamal media termasuk media cetak (suratkhabar & majalah) dan media elektronik.
Diharap dengan mengikuti bengkel ini, para peserta akan dapat menyedarkan orang ramai dan mengikis stigma yang sering dikaitkan dengan HIV / AIDS yang mana sebelum ini dua perkataan tersebut masih digeruni dan mudah disalahfahami oleh masyarakat Malaysia.
Dari segi penulisan pula diharap mereka dapat mempertingkatkan kemahiran dalam membuat laporan, berita dan menggunakan istilah yang tepat berkenaan isu ini. – Laporan Norhafiza Kamaludin