Sumbangan MPI sebagai Panel Pembangunan NOSS Bidang Kewartawanan dihargai

Penolong Pengurus Latihan, Malaysian Press Institute (MPI), Puan Norhafizah Kamaludin yang terlibat dalam membangunkan kurikulum Sijil Kemahiran Kewartawanan Malaysia Tahap 3 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) adalah antara 13 ahli panel pembangunan NOSS  yang diraikan dalam majlis apresiasi anjuran Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada 18 Februari 2015 lalu.

Pada majlis itu, Norhafizah dan ahli-ahli panel pembangunan NOSS dalam bidang kewartawanan yang hadir menerima sijil penghargaan masing-masing daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Abd. Mutallib.

Sebagai mengiktiraf sumbangan mereka, ahli-ahli panel pembangunan NOSS bidang kewartawanan itu juga dianugerahkan Sijil Kemahiran Kewartawanan Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Selain Norhafizah  turut terlibat dalam membangunkan NOSS bidang kewartawanan ini adalah para wakil daripada  agensi-agensi utama media Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), agensi berita  Bernama, Utusan Melayu, Berita Harian, Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPM), Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya yang turut menganggotai panel pembangunan NOSS tidak dapat hadir majlis penghargaan itu.

NOSS adalah singkatan untuk National Occupational Skills Standard atau Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan yang terletak di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Malaysia yang bertanggungjawab untuk membangunkan kursus-kursus kemahiran pada peringkat sijil dan diploma.

Program latihan kemahiran NOSS dalam pelbagai bidang diwujudkan bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan belia yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke mana-mana pusat pengajian tinggi awam atau swasta untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran pada peringkat sijil yang mendapat pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Sijil Kemahiran Kewartawanan Tahap 3 adalah program terbaru yang diperkenalkan oleh NOSS untuk melatih para lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang kewartawanan.

Berucap pada dalam majlis penghargaan, Dato’ Sri Ismail menzahirkan terima  terima kasih kepada semua ahli panel NOSS dalam bidang kewartawanan atas sumbangan idea, tenaga serta masa sepanjang sesi pembangunan ini yang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.

1. Norhafizah Kamaludin, Penolong Pengurus Latihan, Malaysian Press Institute (MPI) sedang menerima Sijil Penghargaan beliau daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia.

2. Dato’ Sri Ismail Abd Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika menyampaikan ucapan terima kasih kepada 13 panel NOSS bidang kewartawanan.

3. Norhafizah (paling kiri) bersama ahli panel NOSS lain yang hadir bergambar kenangan dengan Dato’ Sri Ismail Abd Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia (enam kanan) pada majlis penyerahan Sijil Penghargaan dan Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang kewartawanan di pejabatnya di Putrajaya pada 18 Februari 2015.