ANUGERAH
TAHNIAH PEMENANG HKM 2020

TAHNIAH PEMENANG HKM 2020

Majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) telah berlangsung dengan jayanya pada 30 November 2021 bertempat di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada empat (4) pemenang bagi empat kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2020 (HKM 2020).

Selain menyampaikan hadiah, beliau juga turut melancarkan buku baharu terbitan MPI berjudul Bisnes Media dan Prinsip Jurnalistik.

Seramai 400 orang tetamu yang terdiri daripada tokoh wartawan, pengamal media, wartawan veteran, ahli-ahli akademik, wakil-wakil kementerian dan rakan-rakan korporat telah hadir memeriahkan majlis tersebut.

Pada majlis ini, sebanyak 16 kategori HKM 2020 telah disampaikan kepada pemenang Emas yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM 10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Rakaman gambar-gambar:

Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2021 merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan beliau pada Malam Wartawan Malaysia 2021.

Shahrul Zaman bin Mohd Zain dari Harian Metro berada di pentas menerima hadiah bagi kategori Infografik Terbaik.

Kategori Desain Halaman Pertama Terbaik dimenangi oleh Muhamad Shahrul Nizam bin Manshor dari Berita Harian.

Mohd Aswadi bin Alias dari Harian Metro menang kategori Kewartawanan Foto Cemerlang.

Wartawan Malaysia Gazette, Mohd Hazrol Zainal yang juga pemenang HKM 2018, menangi Kategori Foto Esei Cemerlang buat kali kedua bagi edisi tahun ini.

New Straits Times menang Kategori Penulisan Kolum/ Rencana Pengarang melalui Puan Elena Simala Koshy.

Dua tahun berturut-turut akhbar The Star memenangi kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail – Cetak. Kali ini menerusi Royce Tan Seng Hooi.

Kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail – TV milik Wan Zairul Azri bin Wan Mohammad Sudin dari TV3.

Kategori Penulisan Kolum/ Rencana Pengarang Cemerlang dimenangi oleh Encik Zulkifli Jalil dari Utusan Malaysia.

The Vibes ungguli Kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang PETRONAS menerusi Muhammad Zaidi bin Azmi.

Kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang milik Izwan Rozlin (tiada dalam gambar) dan Muhammad Afham Ramli dari Sinar Harian.

BERNAMA Radio muncul sebagai pemenang Emas bagi Kategori Laporan Radio Terbaik menerusi Nurliyana Farhah binti Ruslan.

Kategori Dokumentari Video Terbaik milik pasukan TV3 menerusi Gan Bock Khim dan rakan-rakan.

Pasukan Malaysiakini yang diwakili oleh Lee Long Hui telah dinobatkan sebagai pemenang emas bagi kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang.

Norlaile mewakili pasukan Malaysia Gazette menerima hadiah bagi Kategori Berita Video Terbaik.

Pemenang Emas Kategori Laporan Berita Cemerlang disandang oleh Alagesh Theruvarul Nathan dari New Straits Times.

Allahyarham Datuk Baharom Mahusin dalam kenangan. HKM 2020 merakamkan penghargaan atas sumbangan Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam bidang kewartawanan dengan pengiktirafan Anugerah Khas kepada beliau yang diwakili oleh balu Allahyarham, YBhg. Datin Fuzana.

Hasil karya wartawan dari Sinar Harian, Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli berjudul Kartel Daging Haram telah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai bagi edisi HKM 2020.

Sebagai penghargaan kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kesudian hadir dan meraikan kalangan wartawan, MPI menghadiahkan cenderahati yang diabadikan nama beliau sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2021.