Tan Sri Mohamed Apandi Ali bicara tentang Media dan Undang-Undang : Perspektif Negara, anjuran MPI-IJS

Ucapan selamat datang Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya di majlis Ceramah Makan Tengah Hari MPI-IJS bersama Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 29 April 2016, jam 12 tengah hari.

Assalammualaikum, salam sejahtera, selamat tengah hari dan selamat datang ke Luncheon Talk MPI IJS yang akan menampilkan YBhg Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Peguam Negara, sebagai pembicara seketika nanti. Saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk merakamkan penghargaan tulus ikhlas Malaysian Press Institute (MPI) dan Institute of Journalism Studies, Universiti Teknologi Mara (IJS – UiTM) atas kesudian YBhg Tan Sri  untuk berceramah kepada kami hari ini. Sebenarnya, tidak sampai seminggu kami menulis surat undangan, kami telah mendapat pemakluman atas kesediaan beliau untuk menyampaikan ceramah. Terima kasih YBhg Tan Sri. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UEM Group kerana telah bermurah hati menaja program hari ini.

Luncheon Talk ini ialah projek pertama anjuran bersama antara MPI dan IJS selepas kita menandatangani memorandum persefahaman akhir tahun lalu dengan matlamat untuk memikirkan inisiatif-inisiatif dalam bentuk yang praktikal dan mudah dilaksanakan yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada para wartawan dan pengamal media, tetapi juga para guru yang mendidik calon-calon wartawan di pusat-pusat pengajian tinggi. Program-program lain dengan tujuan yang sama akan menyusul selepas ini insya-Allah.

Oleh kerana program luncheon talk ini adalah anjuran bersama MPI dan IJS, maka yang hadir untuk mendengar ceramah YBhg Tan Sri Peguam Negara terdiri daripada para wartawan yang berkhidmat dengan pelbagai organisasi berita di Kuala Lumpur, tetapi ada yang terbang dari Sabah untuk bersama-sama kita hari ini. Ada antara wartawan itu mempunyai status sebagai pemimpin redaksi bergelar ketua pengarang, timbalan ketua pengarang, pengarang-pengarang akhbar, sama ada yang telah lama memegang jawatan itu atau yang baharu. Mereka mewakili media arus perdana Malaysia, antaranya dari New Straits Times Press, Harian Metro, TV3, Bernama, Utusan Malaysia, Kosmo!, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, New Sabah Times, The Sun, The Star, Makkal Osai, Malaysia Nanban, TV ALHIJRAH, Astro Awani, RTM, Dewan Masyarakat, Malaysia Gazette, Malaysia Aktif, Jabatan Penerangan dan Bru Publication.

Selain itu sebilangan ahli-ahli akademik yang mengajar kewartawanan dari pelbagai universiti awam dan universiti swasta di sekitar Lembah Klang juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mendengar ceramah Tan Sri. Hadir bersama-sama kita pagi ini adalah para pensyarah komunikasi, media dan kewartawanan dari Unversiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Infrastructure University Kuala Lumpur, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Selangor.

Sekumpulan 14 orang peserta Ikon Siarawan, sebuah program realiti terbitan RTM yang bersiaran di TV2 setiap Sabtu, jam 4 petang juga hadir tengah hari ini. Sudah tentu ceramah Tan Sri Peguam Negara akan memberi manfaat kepada mereka kerana selepas mereka mengikuti latihan yang diberi dalam Ikon Siarawan, ada yang akan menjadi wartawan, penyampai berita TV dan radio.

Topik yang telah dipilih untuk ceramah makan tengah hari ini ialah Kewartawanan & Media dan Undang-undang: Perspektif Negara. Mungkin kita patut tambah: Melangkah Ke Hadapan kepada tajuk itu.

Sebelum saya menjemput YBhg Tan Sri untuk mengambil tempatnya di rostrum untuk menyampaikan ceramahnya, elok saya perkenalkan serba ringkas mengenai seorang tokoh yang telah diamanahkan untuk menjadi Peguam Negara, bermula 27 Julai 2015 yang lalu. Perjalanan yang telah beliau lalui sehingga membawa kedudukan tertinggi sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan dengan gelaran Peguam Negara iaitu satu kedudukan yang mempunyai kuasa budi bicara yang tidak boleh dicabar berkaitan pendakwaan adalah impresif. Kuasa ini diberi kepada beliau oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Mohamed Apandi adalah pemegang ijazah LLB (Hons) dari University of London pada 1972; setahun kemudian gelaran Bar-At Law dari Inner Temple, London,  menjadi milik beliau. Pada 1981, beliau melanjutkan pengajian di Institute of Advance Legal Studies di London.

Tan Sri Mohamed Apandi memulakan kerjaya dalam perkhidmatan perundangan dari bawah sebagai majistret pada 1973 di Kuala Terengganu. Pada 1975 beliau menjadi pengarah biro pengaduan awam di Kelantan. Antara 1977 hingga 1980 beliau bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi Negeri-Negeri Kelantan dan Terengganu; seterusnya beliau menjadi penasihat undang-undang di Kementerian Perdagangan dan Industri antara 1980 hingga 1982. Beliau kemudian meninggalkan perkhidmatan perundangan kerajaan untuk menyertai Apandi Ali & Co sebagai peguam bela dan peguam cara.

Tetapi khidmat beliau kembali diperlukan oleh negara. Pada 2003, beliau dilantik sebagai Pesuruhanjaya Kehakiman di Kuantan; beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 2004 pada mulanya di Kuantan, kemudian berpindah ke Kuala Lumpur pada 2007. Beliau seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 2010, dan seterusnya Peguam Negara pada 2015.

Nyata bahawa bidang guaman merupakan forte Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dengan pengenalan itu, saya dengan ini mempersilakan Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menyampaikan luncheon talknya dengan judul: Kewartawanan, Media dan Undang-undang: Perspektif Negara.

Dengan segala hormatnya dipersilakan Tan Sri.