Kewartawanan dan akhbar cetak tanggungjawab semua

Prof. Datuk Dr. A Murad Merican  |  01 November 2015 6:08 PM

Tulisan ini adalah kupasan berkait isu-isu wartawan dan kewartawanan yang dibincangkan dalam Forum Media Kebangsaan MPI-BSN 2015 pada 6 Oktober 2015 yang telah diadakan Hotel Pullman Bangsar. Dalam perbincangan tersebut, persoalan mengenai masa depan kewartawanan serius, pentakrifan semula fungsi wartawan dan kewartawanan hangat diperkatakan. Prof. Datuk Dr. A Murad Merican adalah salah seorang ahli panel dalam Forum itu. 

Jika kita memegang kepada kepercayaan bahawa media/teknologi baru tidak akan mengganti media/teknologi sebelumnya, kita berada di atas landasan yang betul. Namun ini tidak bermaksud bahawa surat khabar cetak yang tersedia ada sekarang ini dan dibaca oleh sekelompok khalayak, tidak mengalami kebimbangan masalah kepupusan.

Dalam kalangan media “lama” yang wujud di dunia, surat khabar cetaklah yang amat terancam akibat kewujudan Internet. Pengedaran surat khabar cetak di merata dunia menghadapi kemerosotan berdekad yang lalu – malah lama sebelum kemunculan apa yang kita sebut sebagai media sosial sekarang ini. Di Amerika Syarikat, Eropah barat, Amerika Latin, Australia dan New Zealand, penjualan surat khabar sedang menurun.

Di Malaysia, pengedaran surat khabar harian bahasa Melayu, bahasa Inggeris (kecuali sebuah harian Inggeris), Mandarin dan Tamil mengalami kemerosotan berdasarkan angka Januari – Jun 2014 berbanding masa yang sama 2013. Di India, lain pula halnya dengan peningkatan pengedaran dan pembacaan.

Forum Media Kebangsaan anjuran Institut Akhbar Malaysia baru-baru ini telah menimbulkan isu kewartawanan – sentimen, kandungan, fungsi dan takrif wartawan dan kewartawanan.

Masalah cabaran kos yang tinggi, ditambah pula dengan penggunaan kandungan oleh media dalam talian tanpa sebarang bayaran, kemerosotan jualan dan pendapatan pengiklanan dikatakan memberi kesan kepada “pembiayaan wartawan yang mahu menghasilkan karya berbentuk serius.” Apa yang dicadangkan oleh Institut Akhbar Malaysia ialah penubuhan dan “Pembiayaan Nasional” untuk kewartawanan bagi menangani isu tersebut.

Berkaitan dengan itu ialah kesan daripada ledakan kemajuan teknologi maklumat kepada wartawan media tradisional. Ia membangkitkan isu laporan wartawan warga yang kian mendapat tempat kerana dikatakan berita dan isu yang dikembangkan lebih bebas dan tidak terikat dengan dasar editorial mahupun pembingkaian sebagaimana yang dipraktikan oleh wartawan profesional.

Kita lihat kewartawanan, dan dalam hal ini surat khabar cetak sedang menghadapi pelbagai kompleksiti dan masalah kesan kemerosotan pembacaan dan pengedaran kepada kesahihan berita dan maklumat, kepada taraf fungsi kewartawanan itu sendiri.

Saya sendiri tidak yakin bahawa teknologi Internet, media baru yang menghasilkan bentuk media sosial itu merupakan sebab utama kepada kemerosotan pembacaan dan pengedaran surat khabar. Terdapat kepelbagaian sebab – persekitaran sosial dan politik, sikap terhadap pembacaan surat khabar, sentimen masyarakat, fenomena globalisasi, dan lain-lain.

Surat khabar cetak bukan hanya kertas dan dakwat. Ia satu profesion dan institusi. Kita boleh meramalkan bahawa satu hari nanti tidak akan wujud surat khabar cetak di mana-mana negara di dunia, yang wujud hanya kewartawanan dalam ruang siber yang boleh diuruskan oleh sesiapa saja yang dapat menulis dan memaparkan peristiwa dan pendapat kepada khalayaknya.

Berbalik kepada falsafah media baru tidak akan mengganti media lama, objek bacaan yang dapat disentuh, dirasa, dihidu dan ditimbang tidak akan hilang. Dalam jangka waktu kehidupan kita dan generasi-generasi akan datang, surat khabar masih kekal.

Sesuatu surat khabar cetak, dalam bentuk sekarang ini, adalah sebuah negara bangsa yang mencerminkan dirinya sendiri. Kita tinggalkan istilah “arus perdana” (mainstream) dan alternatif (alternative) sejenak. Di mana-mana negara sekalipun, akan wujud beberapa buah surat khabar yang memaparkan intipati kebangsaan negara itu dan intisari dan citra kegiatan masyarakatnya, dasar dan tunjang pemerintahan kerajaannya.

Cerminan

Apakah kita boleh nafikan kepentingan The Times, The Independent atau The Telegraph kepada rakyat dan kerajaan Britain, atau New York Times dan Washington Post kepada Amerika Syarikat; atau Bangkok Post dan The Nation kepada Thailand; Kompas dan Jakarta Post kepada Indonesia, Times of India dan The Hindu kepada India, Asahi Shimbun kepada Jepun; dan The Straits Times kepada Singapura?

Surat khabar seperti yang disebutkan ialah paparan kehidupan nasional. Jika sesiapa yang hendak mengenali Malaysia, mereka mesti baca surat khabar-surat khabar cetak yang diterbitkan, walaupun hampir semua mempunyai versi dalam taliannya.

Surat khabar nasional biasanya mencerminkan agenda nasional, kebimbangan dan sentimen nasional. Penyebar berita media sosial umumnya menyentuh perkara dan isu-isu lokal. Orang awam tidak dapat menandingi citra dan etika kerja wartawan profesional. Di Malaysia, agak berbeza dengan di Indonesia, apabila surat khabar lokal mempunyai fungsi tersendiri (namun bersifat nasional), ekspresi wartawan dan kewartawanan melalui surat khabar cetak secara tersendiri mencerminkan kesedaran nasional.

Dan ini membawa kita kepada siapakah yang patut digelar wartawan? Dengan kewartawanan warga dan kemunculan laman blog, kita berhadapan dengan isu kredibiliti berita dan hujah. Kewartawanan bukan hanya berita dan pendapat. Kewartawanan meliputi pelbagai jenis genre penulisan dan ini diabaikan oleh mereka yang mencemburi dalam kegiatan ini, pembaca dan pihak berkuasa.

Dalam berita sendiri, terdapat pelbagai jenis penulisan. Begitu juga halnya dengan pendapat – dan ini termasuk komentar, pojok, kritikan, dan esei kewartawanan. Dan kita telah lupa istilah “lidah pengarang”. Dari segi fungsi dan kegiatan, kewartawanan juga adalah ekspresi sosial, politik dan intelektual. Penulisan yang berbentuk hujah merupakan sebahagian besar paparan kewartawanan. Pada masa depan, masyarakat akan menghadapi satu krisis pendapat dan tafsiran yang disalurkan oleh pelbagai media.

Di sinilah peluang surat khabar cetak mengembalikan kesahihan mereka sebagai penyalur pendapat dengan mentafsir pelbagai kemelut nasional dan antarabangsa kepada pembaca mereka. Surat khabar cetak mungkin tidak lagi perlu memenuhi ciri-ciri kecepatan dan kepantasan. Surat khabar cetak seharusnya memikirkan kualiti dan kepelbagaian rencam hujah mereka melalui pelbagai ruang. Surat khabar cetak harian perlu lebih bersaing dari segi hujah dan pendapat dalam memupuk sebuah masyarakat demokrasi yang sihat.

Dengan ini surat khabar cetak tidak perlu risau mengenai persaingan dan kepantasan media baru dalam menyalurkan kandungan. Walaupun teknologi media baru telah mentakrif semula batas waktu (deadline), dan surat khabar cetak boleh menggunakan teknologi ini dalam versi talian mereka, tidak semestinya surat khabar cetak mesti mengejar batas waktu seperti mana yang dilakukan oleh agensi berita, saluran radio atau televisyen.

Saya tidak mahu mencadangkan apa-apa yang mirip kepada model perniagaan baru. Pada saya, kewartawanan dan surat khabar adalah lebih daripada satu perniagaan. Nilai kewartawanan dan surat khabar bukan terletak kepada nilai komersial. Ia tanggungjawab semua dan sesiapa yang memerintah sesebuah negara, mesti menentukan kehidupan sihat kegiatan wartawan dan kewartawanan.

Justeru, saya kira terdapat tiga perkara yang harus dilakukan oleh masyarakat wartawan di Malaysia. Pertama, mulakan usaha mentakrif semula profesion kewartawanan (dengan membezakannya daripada penulis blog dan wartawan warga); kedua berusaha memaklumkan kerajaan akan fungsi wartawan dan kewartawanan (bukan sebaliknya); dan ketiga, mencadangkan supaya untuk mengekalkan surat khabar cetak sebagai landasan penyaluran maklumat dan pendapat, maka adalah tanggungjawab institusi negara memperuntukkan subsidi.

Subsidi untuk media cetak ini disalurkan melalui dana Parlimen. Jika kita benar-benar hargai peranan wartawan dan kewartawanan, dana subsidi itu diberi kepada semua surat khabar cetak di Malaysia. Formula dan kaedah pengagihan itu boleh ditentukan oleh jawatankuasa bersama bipartisan Parlimen.

Untuk ini, paradgima pengurusan media dan kewartawanan di Malaysia, fungsi wartawanan, andaian mengenai kebebasan bersuara dan demokrasi mesti berubah baik daripada kalangan warga kepimpinan kewartawanan sendiri, parti politik dan wakil rakyat, serta institusi awam.

Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Petronas
Seri Iskandar, Perak.