Tiada sambutan, Zamalah MPI ditunda ke Ogos
Zamalah Wartawan 1Malaysia, anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang dijadualkan berlangsung di Hotel UiTM mulai 20 hingga 31 Mac 2017 kini ditunda ke 7 Ogos hingga 18 Ogos 2017.
Keputusan menangguhkan itu dibuat memandangkan tiada sambutan dari para wartawan, selain ketiadaan penaja untuk membolehkan program selama dua minggu itu dilaksanakan.
Eksekutif Latihan MPI, Ambia Abdul Hamid memberitahu sehingga Jumaat 10 Mac 2017, hanya tujuh peserta mengesahkan kehadiran untuk mengikuti program tersebut – lima dari Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Penyiaran Malaysia, seorang dari Borneo Post dan seorang dari akhbar theSun.
Organisasi berita lain memaklumkan mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam Zamalah Wartawan 1Malaysia 2017. Tiada alasan diberikan, tetapi faktor kewangan dan ketidakupayaan untuk melepaskan wartawan dari tugasan difahamkan menjadi kekangan.
MPI mencari 20 orang peserta untuk mengikuti program tersebut yang menelan belanja RM6,000 bagi seorang peserta atau RM120,000 secara keseluruhan. Kos itu meliputi biaya penginapan, bayaran penceramah dan makan minum sepanjang peserta mengikuti program tersebut.
Bagi menampung sebahagian daripada kos, yuran RM1,750 dikenakan kepada wartawan yang organisasi medianya menganggotai MPI manakala RM3,000 kepada bukan ahli.
Ambia memberitahu memandangkan masalah kewangan menjadi masalah untuk organisasi berita menghantar para wartawan, pihak MPI akan mengusahakan penajaan bagi membolehkan ia diadakan secara percuma pada September nanti.
“Kami berharap ada pihak-pihak yang menyokong usaha kami itu dengan menghulurkan sumbangan supaya Zamalah Wartawan 1Malaysia diteruskan tahun ini,” kata beliau.
Zamalah Wartawan 1Malaysia mula diperkenalkan oleh MPI pada 2011 di Kuala Lumpur. Ia dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf.
Ia antara lain bertujuan untuk mendedahkan para pengamal media dengan isu-isu kenegaraan, undang-undang media dan menajamkan kemahiran penulisan berita dan rencana.
Program kedua diadakan di Kuching, Sarawak pada 2012; di Kuala Lumpur pada 2013 dan 2014; di Kota Kinabalu pada 2015 dan Alor Setar pada 2016.
Pada mulanya program itu berlangsung selama sebulan, tetapi dipendekkan kepada dua minggu atas permintaan organsasi media yang tidak dapat memberi kelepasan untuk tempoh yang lama bagi wartawan.
Seramai 126 orang wartawan, sebahagian besarnya muda, telah mengikuti program tersebut antara 2011 hingga 2016.