Tiga buku MPI cenderahati HPN di Ambon
Tiga buku kewartawanan sumbangan Malaysian Press Institute (MPI) adalah antara cenderahati yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak kepada para pemimpin redaksi media Republik Indonesia yang menghadiri majlis ramah tamah yang beliau hoskan sewaktu berada di Ambon bagi memeriahkan Hari Press Nasional (HPN) pada 8 hingga 10 Februari 2017 lalu.
Buku-buku tersebut ialah Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik; Terbilang Potret Tokoh Wartawan Negara dan Isu-Isu Semasa Kewartawanan Dan Media: Krisis Dan Strategi.
Ketiga-tiga buku berkenaan dikarang oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya.
40 naskah bagi setiap tiga judul itu telah dibawa ke Ambon oleh Jabatan Penerangan Malaysia untuk diedarkan kepada para wartawan Indonesia yang menghadiri majlis anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI MALAYSIA).
Selain tiga buku tersebut, turut disampaikan cenderahati oleh Datuk Seri Dr. Salleh ialah sebuah buku daftar media terbitan Jabatan Penerangan Malaysia.
Pada majlis ramah tamah itu ISWAMI Malaysia turut mengiktiraf peranan sebilangan wartawan veteran yang berpangkalan di Jakarta dengan anugerah atas peranan mereka memainkan peranan dalam mengeratkan hubungan wartawan kedua-dua buah Negara.
Antara yang diberi anugerah itu ialah mantan Ketua Dewan Kehormat Persatuan Wartawan Indonesia, Allahyarham Bapak Tarman Azam; Ketua ISWAMI Indonesia, Bapak Saiful Hadi; mantan Ketua Editor Jurnal Indonesia, Bapak Shamsuddin dan Bapak Asro Rokan; mantan Ketua Editor Republika dan Antara. Masing-masing menerima cenderamata khas berupa mini replika menara berkembar PETRONAS serta wang tunai.
Antara yang hadir pada majlis ramah tamah tersebut ialah Penasihat Kanan Kantor Berita Antara, Saiful Hadi dan Direktur Pemberitaan merangkap Ketua Editornya; Ketua Editor Republika, Irfan Junaidi, Setiausaha Agung Persatuan Wartawan Indonesia, yang juga penganjur HPN, Hendry Ch Bangun serta sebilangan ketua-ketua editor media Ambon.
HPN adalah acara tahunan yang menghimpunkan para pemilik media, para pemimpin redaksi dan para wartawan kanan seluruh Republik Indonesia yang diadakan untuk memperingatkan tarikh penubuhan Persatuan Wartawan Indonesia pada 9 November 1945.
Tetamu kehormat majlis tersebut ialah Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.
ISWAMI dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia mula diundang sebagai tetamu HPN pada pertemuan yang diadakan di Makassar pada 2013 sebagai usaha untuk mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan komuniti kewartawanan kedua buah negara. HPN di Makassar dihadiri oleh Tan Sri Rais Yatim; manakala HPN di Bengkulu pada 2014 dan di Batam pada 2015 dihadiri oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Pemergian rombongan ISWAMI Malaysia yang dipimpin oleh presidennya merangkap Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh ke HPN Ambon ditaja oleh kerajaan melalui Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (berbaju batik kuning, barisan hadapan) bergambar kenangan bersama-sama rombongan ISWAMI Malaysia yang menyertai Hari Press Nasional Indonesia di Padang Gong Perdamaian Dunia di Kota Ambon pada 9 Februari 2017.