MPI release
TNB setuju taja Malam Wartawan Malaysia 2021

TNB setuju taja Malam Wartawan Malaysia 2021

Datuk Chamil (kiri) bergambar kenangan dengan Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan), pengerusi TNB sewaktu mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau di ibu pejabat TNB petang 19 April 2021.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan  Malam Wartawan Malaysia yang dijangka berlangsung pada 18 Jun 2021.

Persetujuan ini dinyatakan oleh pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya yang melakukan kunjungan hormat terhadap beliau di ibu pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur, petang semalam.

TNB merupakan salah satu entiti korporat yang tidak pernah jemu-jemu menaja Malam Wartaan Malaysia sejak ia diadakan pada 1981.

Malah penajaannya, yang bermula dengan RM10,000 meningkat dari tahun ke tahun.

Bagi tahun 2020 dan 2019, TNB menyumbang RM40,000 untuk menjayakan majlis tahunan anjuran MPI itu.

Sebelum itu penajaannya bernilai RM20,000.

Malam Wartawan Malaysia diadakan sebagai salah satu pertemuan tahunan terbesar komuniti kewartawanan dan korporat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang ditaja oleh PETRONAS sejak 1994.

Tajaan itu bagi tahun akan datang  bernilai RM300,000 setahun.

Bagaimanapun untuk menganjurkan Malam Wartawan Malaysia, MPI memerlukan sumbangan dan pembelian meja daripada badan-badan korporat, agensi kerajaan – Persekutuan dan Negeri serta organisasi media itu sendiri.

Sebanyak RM350,000 diperlukan untuk menganjurkannya.

Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Mahdzir itu, Chamil memohon agak pihak TNB menambah sumbangan lagi RM10,000 menjadikannya RM50,000 untuk tahun ini.

Beliau berjanji untuk menimbangkannya.

Chamil juga menerangkan pelbagai program latihan yang dianjurkan oleh MPI kepada pengerusi TNB dan memaklumkan ada antaranya yang boleh dimanfaatkan oleh pengurusan kanan syarikat utiliti negara itu.

Antaranya termasuklah Bengkel Tampil Berwibawa Dihadapan Kamera dan Bengkel Pengacaraan Majlis.

Chamil (kiri) dalam pertemuan dengan Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) di ibu pejabat TNB pada petang 19 April 2021.