TPM tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2015

Malam Wartawan Malaysia 2015 (MWM2015) anjuran Malaysian Press Intitute (MPI) yang diadakan untuk menyampaikan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2014 dijadualkan berlangsung pada 8 Jun 2015 di Hotel Istana Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin bersetuju untuk hadir sebagai tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Ainon Mohd kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya pada 22 Mei 2015.

Kehadiran Tan Sri Muhyiddin mengekalkan tradisi bahawa Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri secara berselang seli menjadi tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia pada 2009, 2010, 2012 dan 2013 manakala Tan Sri Muhyiddin adalah tetamu kehormat bagi tahun 2011, 2014 dan tahun ini.

1. YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia hadir sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2014.

2. YAB Perdana Menteri Malaysia menyampaikan ucapan pada Malam Wartawan Malaysia 2013.

800 orang tetamu dijangka memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2015. Majlis ini diadakan setahun sekali dan ia pertama kali diadakan pada 17 September 1981.

Empat puluh lima (45) yang terdiri daripada organisasi korporat, kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta institut pengajian tinggi telah menghulurkan sumbangan bernilai RM465,000.00 untuk  menjayakan majlis itu.

3. Para penaja bergambar kenang-kenangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan yang diadakan pada 13 April 2015 di Pullman, Kuala Lumpur, Bangsar.

Malam Wartawan Malaysia diperkenalkan dengan tujuan untuk mengiktiraf karya-karya kewartawanan cemerlang yang dihasilkan oleh golongan pengamal media setiap tahun.

Penganjurannya senantiasa ditunggu-tunggu oleh komuniti kewartawanan negara kerana ia merupakan perhimpunan terbesar golongan wartawan yang turut disertai oleh sahabat-sahabat korporat terutamanya kalangan yang berkhidmat dalam bidang komunikasi korporat dan perhubungan awam.

Dalam kalangan pemerhati media, ada antara mereka menyamakan HKM setaraf dengan Hadiah Pulitzer di Amerika Syarikat.

Sebagai hadiah kewartawanan tertua dan terulung Malaysia, HKM MPI-PETRONAS menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan kepada para pemenang.

PETRONAS adalah penaja eksklusif HKM sejak 1994. Nilai tajaan pada HKM 2014, sama seperti lima tahun sebelum itu, adalah sebanyak RM300,000.00 setahun.

PETRONAS bersetuju untuk meneruskan penajaan bagi HKM 2015 dan seterusnya. Bagaimanapun kuantum tajaan akan dibincangkan oleh kedua-dua pihak selepas Malam Wartawan Malaysia 2015 selesai.

Persetujuan ini dicapai pada mesyuarat khas antara Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Korporat PETRONAS, Cik Liz Kamaruddin dengan Majlis Pentadbir MPI pada 7 Mei 2015.

Pada mesyuarat itu PETRONAS bersetuju untuk mengekalkan pembiayaan RM300,000.00 bagi HKM MPI-PETRONAS 2014. Persetujuan juga diberikan untuk syarikat minyak negara itu menjadi penaja utama atau title sponsor bagi HKM seterusnya.

4. Wakil MPI diketuai oleh Datuk Dr. Chamil Wariya (belakang kamera, kanan) bermesyuarat dengan Petronas yang diwakili oleh Cik Liz Kamaruddin (menghadap kamera, tengah) membincangkan tentang penajaan HKM.

Bagi HKM MPI-PETRONAS 2014, 502 orang wartawan telah mengemukakan penyertaan masing-masing bagi 15 kategori yang dipertandingkan.

Setiap kategori menawarkan hadiah bernilai RM15,000.00. Pemenang utama HKM iaitu Hadiah Kajai dan Tokoh Wartawan Negara pula menerima RM30,000.00. Bagi setiap kategori hanya terdapat seorang pemenang.

Bagaimanapun penyampaian angerah Tokoh Wartawan Negara akan diadakan secara berasingan sebelum penghujung 2015. MPI menerima dua pencalonan bagi anugerah itu sehingga ini.

Para pemenang HKM dinilai oleh sebuah panel hakim yang diketuai oleh Profesor Mohd Dr. Safar Hasim dari Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

5. Profesor Dr. Mohd Safar Hasim (duduk di tengah), mempengerusikan mesyuarat panel hakim HKM bagi kategori media cetak.

Ahli-ahli panel pula terdiri daripada para wartawan veteran yang tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana organisasi berita dan ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi universiti awam dan swasta.

Karya-karya yang dikemukakan melalui saringan yang ketat sebanyak tiga pusingan. Pada pusingan pertama, setiap karya akan dinilai. Lima karya yang mendapat markah tertinggi akan memasukki pusingan kedua. Pemenang pula dipilih dalam kalangan tiga calon paling atas.

Pengerusi Bersama Malam Wartawan Malaysia 2015 Datuk Dr. Chamil Wariya dan Datuk Mustapa Omar berkata senarai pemenang hanya diumumkan pada Malam Wartawan Malaysia 2015. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

6. Datuk Dr. Chamil Wariya (kiri) dan Datuk Mustapa Omar (kanan) selaku Pengerusi Bersama Malam Wartawan Malaysia 2015.