TPM Tetamu Kehormat Malam Wartawan Malaysia 2016

logo MPIKENYATAAN MEDIA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia pada 20 Mei 2016, bermula jam 8 malam di Hotel The Majestic di sini.

Kehadiran TPM pada majlis tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang bertujuan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS 2015 disahkan oleh beliau melalui sepucuk surat bertarikh 29 April 2016 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan, Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar. Tekan sini untuk surat rasmi.

Selain menyampaikan ucapan kepada komuniti wartawan yang akan hadir pada majlis itu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri Malaysia juga akan menyampaikan dua hadiah utama kepada para pemenang HKM 2015.

Turut mengesahkan kehadiran untuk memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2016 ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang juga penaung malam tersebut.

Ini adalah kali pertama bagi Dato’ Seri Dr. Zahid atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga bagi Datuk Seri Dr. Salleh setelah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia. Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia adalah dua agensi kerajaan yang bertindak sebagai pihak kawal selia media di negara ini.

Kementerian Dalam Negeri mengawal selia media menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 manakala Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2016, Datuk Dr. Chamil Wariya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPI merakamkan penghargaan atas kesudian mereka memeriahkan Malam Wartawan Malaysia yang penganjurannya bermula pada 1981.

Selain itu, enam orang pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif media yang turut diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang HKM bagi kategori-kategori tertentu juga telah mengesahkan kehadiran masing-masing.

Mereka ialah:

  • Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah;
  • Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu Malaysia Berhad, Datuk Mohd Noordin Abbas;
  • Pengerusi Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Hussammuddin Haji Yaacub
  • Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh
  • Ketua Pegawai Eksekutif Nanyang Siang Pau, Encik Low Hoong Fee
  • Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Dato’ Abu Bakar Ab Rahim

Lapan ratus (800) orang tetamu, sebahagian besar terdiri daripada para pengarang kanan dan wartawan organsasi media dijangka hadir pada Malam Wartawan Malaysia 2016. 56 penyumbang dan penaja yang terdiri daripada badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan menghulurkan sumbangan dan tajaan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2016.

Pada malam tersebut, para pemenang dan penerima hadiah sagu hati HKM 2015 akan diumumkan. 438 wartawan – baik secara individu atau berkumpulan telah mengemukakan penyertaan untuk HKM 2015. Bagi setiap kategori, terdapat seorang pemenang dan dua penerima hadiah sagu hati.

Penghakiman HKM dilakukan pada tiga peringkat. Pada pertama pertama setiap penyertaan akan diteliti oleh sekumpulan penilai; lima penyertaan yang menerima markah tertinggi pada saringan pertama, akan melayakkan diri ke peringkat kedua. Pada saringan kedua, tiga penyertaan yang mendapat markah tertinggi berpeluang untuk ke peringkat ketiga. Dalam kalangan tiga penyertaan yang diberi markah tertinggi akhir ini pula akan dipilih seorang pemenang bagi setiap kategori manakala kalangan yang menduduki tempat kedua dan ketiga akan diberi hadiah sagu hati.

Panel hakim seramai 18 orang terdiri daripada wartawan veteran dan berpengalaman yang tidak lagi terikat dengan mana-mana organisasi berita dan ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi di universit awam dan swasta. Adunan kedua-dua kelompok itu bertujuan untuk mempastikan penilaian yang baik diberikan terhadap setiap karya yang menyertai HKM 2015.

Mantan pengurus besar dan ketua pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong bertindak sebagai Pengerusi Panel Hakim. Eksekutif Anugerah MPI, Salman Husni Abdollah bertindak sebagai Penolong Setiausaha kepada panel hakim.

Para pemenang dan penerima hadiah sagu hati yang akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300,000 tajaan PETRONAS akan hanya diketahui pada malam 20 Mei 2016.

Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, sebuah trofi eksklusif dan sijil manakala penerima hadiah sagu hati iaitu dua  penerima bagi setiap kategori, akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil.

Penyertaan terbaik dalam kalangan 18 kategori yang dipertandingkan akan diangkat sebagai penerima Hadiah Kajai yang menawarkan ganjaran wang tunai RM30,000, trofi dan sijil.

Bagi HKM 2015 lima kategori baharu pertama kali diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan kepada elemen-elemen kewartawanan yang tidak pernah dihargai menerusi HKM sebelum ini.

HKM pertama kali diperkenalkan pada 1980 dan sejak 1994 hadiah wang tunai ditaja oleh PETRONAS.

Dikeluarkan pada :

 10 Mei 2016

 

Surat Persetujuan Kehadiran Timbalan Perdana Menteri