TWN: Penghormatan tertinggi untuk wartawan terbilang
Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya pada majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara (TWN), Hadiah Kewartawanan Malaysia 2011 di Hotel Royale Bintang Damansara, Mutiara Damansara pada jam 3.30 petang pada 16 Julai 2012. Tetamu kehormat majlis ini ialah YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua hadirin dan hadirat ke majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2011 petang ini. Selamat datang istimewa saya panjangkan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terima kasih Tan Sri kerana dalam kesibukan tugasan rasmi sebagai orang nombor dua di dalam kerajaan, Tan Sri masih dapat meluangkan waktu untuk menjadi tetamu kehormat pada majlis ini dan seterusnya menyempurnakan penganugerahan Tokoh Wartawan Negara sebentar lagi.
Terima kasih juga di atas sumbangan ikhlas yang YAB Tan Sri hulurkan bagi menjayakan majlis ini.
Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia ini pertama kali diperkenalkan pada 1988 untuk mengiktiraf sumbangan, peranan dan jasa besar seorang wartawan yang diakui mencapai tahap terbilang dalam kerjaya kewartawanannya.
Hadiah Kewartawanan Malaysia itu sendiri yang sejak 1994 ditaja oleh PETRONAS, bermula pada 1980 bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya cemerlang yang telah dihasilkan oleh para wartawan setiap tahun. Berbeza dengan anugerah-anugerah lain Hadiah Kewartawanan Malaysia yang pemenangnya dipilih secara penyertaan oleh para wartawan itu sendiri, Anugerah Tokoh Wartawan Negara ini dibuat secara pencalonan oleh organisasi media atau oleh pihak-pihak lain yang berwibawa.
Dengan kata-kata lain, wartawan yang ingin diangkat untuk menjadi Tokoh Wartawan Negara ini tidak boleh mencalonkan dirinya sendiri. Sebaliknya pencalonan hendaklah dibuat oleh mana-mana organisasi berita, jabatan-jabatan pengajian kewartawanan/media/komunikasi pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta atau malah oleh individu-individu yang terkemuka dalam bidang kewartawanan.
Penerima pertama Anugerah Tokoh Wartawan Negara ialah Tan Sri A. Samad Ismail; diikuti oleh Tan Sri Lee Siew Yee, Datuk Ishak Haji Mohamad atau Pak Sako, Tun Mohamad Fuad Stephens, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk C.C Liew.
Pemilihan mereka dan piawaian yang sama juga akan digunapakai pada masa-masa akan datang, dibuat berpaksikan empat kriteria yang telah diinstitusikan oleh para pengasas Anugerah Tokoh Wartawan Negara ini pada 1988.
Pertama, kecemerlangan hasil kerja kewartawanan dan tulisan-tulisannya secara berterusan selama menjadi wartawan.
Kedua, keberkesanan atau impak sumbangan buah fikiran, baik secara langsung atau tidak langsung terhadap komuniti pembaca atau khalayak produk medianya.
Ketiga, keberkesanan jasa, kegiatan dan kerjayanya dalam organisasi media di mana dia bekerja dan juga dalam pertubuhan bukan kerajaan di mana dia terbabit.
Keempat, ketokohan kepimpinan, penonjolan serta ketrampilannya di kalangan kaum wartawan dan juga rakan-rakan wartawan yang seangkatan dengannya.
Bagi mendapatkan huraian yang agak terperinci bagi empat kriteria itu, sila layari halaman web MPI – mpi.com.my.
Untuk makluman sekiranya anda berjaya mencari seorang individu wartawan yang memenuhi empat kriteria di atas, jangan berlengah lagi. Dia layak untuk diangkat sebagai Tokoh Wartawan Negara. Kemukakan pencalonan anda dengan memperincikan ketokohan wartawan berkenaan berpaksikan empat kriteria yang saya huraikan di atas kepada MPI yang bertindak sebagai pemudah bagi penganugerahan Tokoh Wartawan Negara ini.
Sebaik sahaja pencalonan diterima, MPI akan melantik Penal Pemilih Bebas untuk menilai pencalonan yang dikemukakan. Mereka terdiri daripada para wartawan veteran dan ahli-ahli akademik terbilang dalam bidang kewartawanan. Pencalonan untuk anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan 2012 telah dibuka mulai 1 Julai yang lalu.
Bagi pemilihan Tokoh Wartawan Negara 2011, ahli-ahli panelnya terdiri daripada:
Ketua – Profesor Dr. Ahmad Murad Marican, dari Universiti Teknologi Petronas.
Ahli:
Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara 2006, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, mantan Menteri Penerangan Malaysia.
Profesor Dr. Arabi Aidid, bekas Rektor, Universiti Islam Antarbangsa Malaysia.
Profesor Dr. Mohd Safar Hasim, profesor kewartawanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Datuk Rejal Arbee, wartawan veteran yang antara lain pernah menjadi Ketua Pengarang Bernama dan pengarang kumpulan Berita Harian.
Datuk Johan Jaafar, pengerusi Media Prima Berhad dan pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.
Dan Profesor Madya Dr. Adnan Hashim, Dekan, Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Teknologi Mara.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan MPI kepada mereka kerana telah menyediakan penilaian bertulis tentang Tokoh Wartawan Negara yang kesembilan sebentar lagi.
Dan untuk memperincikan justifikasi pemilihan, saya dengan ini mempersilakan YBhg Profesor Dr. Ahmad Murad Marican untuk menyampaikan Pidato Pengisytiharan Tokoh Wartawan Negara ke sembilan ini. Dipersilakan Prof.
Terima kasih.