Ucapan Malam Wartawan 2014 oleh Datuk Chamil Wariya

HKM: Anugerah daripada wartawan, kepada wartawan, disampaikan oleh wartawan

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) merangkap pengerusi bersama Malam Wartawan Malaysia 2014 pada 18 April 2014, jam 8 malam di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor. Tetamu Kehormat Malam Wartawan Malaysia 2014 ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  1. Pengenalan

Bagi pihak 35 buah organisasi media yang menganggotai MPI, saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan selamat datang ke Malam Wartawan Malaysia 2014.

Selamat datang istimewa saya panjangkan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di atas kesudian beliau hadir sebagai tetamu kehormat untuk memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2014 dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS sebentar lagi.

Kali terakhir YAB Tan Sri bersama kita pada Malam Wartawan Malaysia ialah pada 2010. Keberadaan Tan Sri pada malam ini adalah lambang keeratan hubungan Tan Sri dan kerajaan dengan komuniti media dan golongan wartawan. Terima kasih Tan Sri.

Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran:

YB Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang menaungi Malam Wartawan Malaysia 2014;

Encik Arif Mahmood, Naib Presiden Kanan, Perancangan Strategik Korporat, Kumpulan PETRONAS mewakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS.

Saya juga mengucapkan selamat datang kepada YAB Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Menteri Besar Kedah Darul Aman;

YBhg Profesor Dr. Mohd Safar Hasim, Pengerusi Panel Hakim Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013 serta barisan panel hakim yang lain;

Para pemimpin media;

Ketua-ketua pengarang dan para pengarang kanan;

Para penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2014 yang terdiri daripada 58 badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan – Persekutuan dan Negeri;

Para tetamu yang dihormati;

dan tentunya kepada wartawan yang kita raikan pada malam ini baik, dalam kalangan yang telah mengambil bahagian dalam HKM 13 atau tidak.

2. MWM & HKM

Malam Wartawan Malaysia 2014 ini adalah Malam Wartawan kali ke-34. Acara ini pertama kali dianjurkan pada 1980 oleh para wartawan yang berpandangan jauh pada waktu itu untuk memajukan dunia kewartawanan Malaysia.

Tujuan diadakan Malam Wartawan Malaysia adalah untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia. Hasratnya adalah untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan yang telah dihasilkan setiap tahun dalam kalangan pengamal media di negara ini; dengan kesedaran bahawa pengiktirafan seumpama itu berupaya merangsang peningkatan kualiti penulisan dan kewartawanan itu sendiri.

Selepas 34 tahun berlalu, tidaklah keterlaluan jika dirumuskan bahawa tujuan bapa-bapa kewartawanan itu telah tercapai. Peningkatan kualiti ini dapat dilihat dalam buku yang menghimpunkan karya para pemenang Anugerah Kajai berjudul Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran yang edisi keduanya kita edarkan sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.

Dalam menjayakan Malam Wartawan Malaysia, baik kali ini dan juga sepanjang lebih tiga dekad yang lalu, MPI, selaku pihak penganjur, terhutang budi dengan banyak pihak. Izinkan saya menyatakan penghargaan kepada mereka yang senarai lengkapnya kita senaraikan di halaman 42 buku program yang diedarkan pada malam ini.

Pertama sekali penghargaan  tentulah kepada PETRONAS  .Tatkala kita tercari-cari penaja baharu pada awal 1990-an, PETRONAS tampil untuk menjadi penaja pada 1994 – dengan menawarkan hadiah yang lumayan kepada para pemenang. Bagi tempoh lima tahun yang lalu, PETRONAS menyediakan RM1.5 juta atau RM300,000 setahun untuk hadiah HKM. Saya berharap kerjasama PETRONAS-MPI yang sudah berusia 20 tahun, akan berterusan selepas tempoh lima tahun kali ke-4 berakhir pada 2014.

MPI telahpun mengemukakan cadangan  penajaan untuk lima tahun akan datang. Marilah kita sama-sama berdoa semoga harapan golongan wartawan Malaysia insya-Allah menjadi kenyataan. Amin.

3. Terima kasih atas sumbangan

Malam Wartawan Malaysia tentulah juga tidak akan dapat bertahan sepanjang 34 tahun sekiranya agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan organisasi media itu sendiri tidak tampil untuk menghulurkan sumbangan masing-masing. Sekiranya yang menjadikan Hadiah Kewartawanan berprestij adalah penajaan PETRONAS, yang  menjadikan Malam Wartawan setiap tahun ini gah sebenarnya adalah anda yang menghadirkan diri saban tahun.

Tepatlah seperti yang diamati oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam kata-kata aluan buku program Malam Wartawan 2014 bahawa Malam Wartawan Malaysia sesungguhnya mencerminkan semangat setiakawan yang kental dalam kalangan komuniti pengamal media negara.

Di sinilah, pada malam ini para peneraju media dan editorial serta anak-anak buah mereka berhimpun untuk meraikan kejayaan dan kemenangan meraih Hadiah Kewartawanan Malaysia. HKM sesungguhnya adalah satu anugerah yang telah diasaskan oleh  wartawan, untuk wartawan dan hadiah-hadiahnya, mulai tahun 2014 akan disampaikan oleh para wartawan kanan.

Sukacita saya melaporkan bahawa bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013, sebanyak 284 orang wartawan telah mengemukakan 552 karya masing-masing untuk dihakimi oleh sebuah panel bebas yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Safar Hasim dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada 2012, bilangan wartawan yang menyertainya adalah 264 orang.

Terima kasih kepada yang telah mengambil bahagian; tahniah kepada para pemenang; terima kasih juga kepada barisan panel hakim yang bertungkus lumus untuk membuat kerja-kerja penilaian sebanyak tiga pusingan, dalam waktu yang telah ditetapkan.

4.Program Latihan

Selain mengendalikan Hadiah Kewartawanan Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan mutu kewartawanan, MPI juga komited untuk membantu wartawan mengasah gergaji kewartawanan masing-masing supaya senantiasa kekal tajam. Ini kami lakukan dengan mengadakan kursus-kursus jangka pendek yang berbentuk serampang dua mata – meningkatkan kemahiran penulisan dan pelaporan dan menambah ilmu serta pengetahuan dalam bidang-bidang tertentu.

Oleh kerana bersama kita pada malam ini adalah tetamu kehormat yang juga merupakan Menteri Pendidikan, saya ingin memaklumkan selain kursus jangka pendek, MPI juga mengadakan kursus pada peringkat sarjana atau master dalam bidang komunikasi dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia di kampusnya di Kuala Lumpur yang para pelajarnya terdiri daripada golongan wartawan. Tiga puluh orang sedang mengikuti program itu.

Selain itu, MPI juga terbabit dalam jawatankuasa penasihat sebuah program baru UUM, juga pada peringkat sarjana sains iaitu dalam bidang kewartawanan multimedia yang insya-Allah akan diperkenalkan penghujung 2014. Ayuh para wartawan yang ada pada majlis, sambutlah peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam dua bidang pada peringkat sarjana komunikasi dan kewartawanan multimedia. Jangan risau pasal pembiayaan. Anda boleh memohon geran yang disediakan MyBrain15.

5.Penutup

Sebelum saya mengundurkan diri, sekali lagi saya merakamkan penghargaan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin atas kesudiannya menjadi tetamu kehormat pada malam ini; juga terima kasih kepada semua yang melapangkan waktu untuk hadir. Akhir sekali saya memohon maaf dan ampun jika terdapat terlajak kata serta kelemahan dalam penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2014 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013.

Dan tentulah tidak lengkap majlis kalau kita tidak mendengar sepatah dua kata daripada tetamu kehormat kita. Saya, dengan ini, dengan sukacitanya mempersilakan YAB Tan Sri Muhyiddin untuk menyampaikan ucapannya kepada hadirin. Dipersilakan Tan Sri. Terima kasih.