ANUGERAH
Ucapan Perasmian Pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022

Ucapan Perasmian Pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022

*Tekan sini untuk muat turun teks ucapan dalam format PDF

Ucapan perasmian pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 disampaikan oleh Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Dr. Chamil Wariya di Hotel Dorsett Subang Jaya pada 16 April 2022 jam 5.30 petang

Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan inzinnya juga dapat kita semua berada di sini pada petang ini untuk menjadi saksi kepada pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 yang akan disempurnakan sebentar lagi.

Tentunya saya ingin menyampaikan sekalung tahniah kepada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, atau Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) kerana mendayausahakan anugerah ini.

Syabas Presiden MSOSH Dr Shawaludin Husin dan rakan-rakan lain dalam kepimpinan MSOSH.

Penghargaan saya panjangkan kepada Dr. Shawaluddin kerana sudi mengundang saya untuk menyempurnakan pelancaran Anugerah Media MSOSH ini.

Terima kasih atas kesediaan Dr. untuk menjadikan Malaysian Press Institute (MPI) sebagai rakan strategik dalam memberi penghargaan kepada para pengamal media di alam maya dan di alam nyata yang telah menghasilkan karya-karya kewartawanan yang berkisar kepada topik dan isu-isu berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau KKP di tempat kerja.

Kerjasama MPI MSOSH bermula pada Ogos 2018 apabila Dr. Shawaluddin, ketika itu Naib Presiden MSOSH berkunjung ke MPI untuk berbincang mengenai penganjuran Anugerah Media mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

Dan penganjurannya menjadi kenyataan pada tahun 2019 dan seterusnya pada tahun 2020 dan 2021 dengan tujuan bagi memupuk kesedaran orang awam mengenai KKP melalui pelaporan media.

Dalam tiga penganjuran itu, Anugerah MSOSH ini diselitkan sebagai salah satu kategori dalam Majlis Penyampaian Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau MSOSH OSH AWARD yang tujuannya adalah memberi pengiktirafan kepada organisasi-organisasi yang berjaya di dalam progam audit keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Apa yang amat membanggakan saya dan rakan-rakan wartawan yang lain tentulah hakikat bahawa Anugerah Media MSOSH 2022 kini dijadikan sebagai satu acara stand alone yang terpisah daripada MSOSH OSH AWARD.

Ini adalah satu pengiktirafan tinggi MSOSH kepada para pengamal media di negara ini.

Saya percaya anugerah ini telah dan akan dapat membuka mata kelompok wartawan untuk memaparkan laporan-laporan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang amat penting diketahui oleh golongan pekerja dan majikan di negara ini supaya dengan itu isu-isu berkatian OSH difahami oleh warga.

Saya sukacita melaporkan bahawa sejak Anugerah Media MSOSH diperkenalkan pada 2019, penyertaan yang kita terima mencatatkan peningkatkan yang membanggakan.

Bagi anugerah 2019, kita menerima 48 penyertaan; pada 2020, jumlah adalah 59 dan tahun lal, 78 pengamal media telah mengambil bahagian.

Malah kategori anugerah juga telah ditambah daripada dua kepada tiga. Karya-karya yang diiktiraf meliputi: media cetak dan portal berita; media penyiaran televisyen dan video atas talian dan media penyiaran radio dan radio on line.

Dengan kata lain, pengiktirafan yang diberi oleh Anugerah Media MSOSH adalah menyeluruh dan mencerminkan ekosistem dan landskap semasa dunia media era digital.

Tentulah setelah menjadi anugerah yang stand alone, saya berharap penyertaan bagi tahun 2022 akan lebih baik dari tahun lalu dengan kualiti pengisian yang lebih mantap dan berwibawa.

Saya menyeru para wartawan untuk menyahut cabaran untuk meneroka pemahaman KKP di negara-negara luar. Sektor KKP adalah sangat penting dan sangat inklusif.

Setiap daripada kita mempunyai bidang kerja dan pekerjaan yang melibatkan risiko kemalangan. Adalah penting untuk memahami bagaimana kita dapat mencegah kemalangan dan sentiasa sihat di tempat kerja.

Memanglah selalu dikatakan malang tidak berbau, tetapi jika kita sebagai wartawan berupaya menyedarkan warga pekerja dan majkikan mereka mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, malang yang tidak berbau itu boleh kita hidu lebih awal dan langkah-langkah menghindarinya diambil terlebih dahulu supaya dengan itu tempat kerja boleh menjadi sifar kemalangan.

Di sinilah peranan penting kita sebagai penyebar maklumat kepada khalayak. Tanpa mengira anda bekerja dengan surat khabar, portal berita, radio atau televisyen, anda mempunyai peranan untuk memberi pencerahan kepada audiens anda mengenai pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Manfaatkanlah pena anda secara produktif dan efektif untuk melaporkan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara bertanggungjawab. Usah disensasikan laporan hanya kerana tujuan komersial semata-mata.

Kalau boleh saya ingin melihat lahirnya kelompok wartawan yang mahir dan menjadi pakar dalam melaporkan isu-isu OSH satu hari nanti.

Saya juga berharap penganjuran Anugerah Media MSOSH ini dapat memupuk hubungan yang baik diantara pihak MSOSH bersama dengan pihak pengamal media di negara kita.

Peranan dan penglibatan pihak media adalah sangat penting bagi menyampaikan maklumat yang tepat mengenai isu berkaitan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Pendedahan dan kupasan maklumat ini secara tidak langsung dapat membantu ke arah penambahbaikan hala tuju Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Malaysia.

Percayalah dalam bertindak sebagai urus setia Anugerah Media MSOSH, MPI akan bertindak sebagai fasilitator yang professional dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran melebihi 50 tahun dalam menguruskan penghakiman anugerah kewartawanan. Antara anugerah kewartawanan yang diuruskan oleh MPI adalah seperti berikut:

  1. Anugerah Media Kesihatan
  • Anugerah Media Permodalan Nasional Berhad
  • Kinabalu Shell Press Award
  • Kenyalang Shell Press Award
  • Anugerah Media Kesihatan Kementerian Kesihatan
  • Anugerah Media Pengguna / KPDNKK
  • Halal Press Award
  • Anugerah Media Johor
  • Malaysia MICE Journalism Award
  1. Anugerah Kewartawanan Hijau KeTTHA
  1. Pertandingan Penulisan Integriti
  1. PEMUDAH Journalism Competition
  1. Anugerah Media Pembinaan CIDB
  1. MIDA Media Award

Sebelum mengundur diri, izinkan saya menyentuh serta ringkas mengenai tugasan MPI dalam proses mengurus penyertaan & penghakiman Anugerah Media MSOSH, iaitu:

Pertama, menghebahkan dan mempromosikan anugerah kewartawanan dalam kalangan pengamal media untuk mendapatkan penyertaan. Hebahan dibuat menerusi faksimili, email, website dan surat ke setiap organisasi media

Kedua, merekod, memproses dan mengagihkan bahan penyertaan mengikut kategori-kategori yang dipertandingkan

Ketiga, melantik panel hakim dan menguruskan jemputan mesyuarat. Mengadakan satu taklimat ringkas dan menyerahkan bahan penyertaan untuk dihakimi.

Keempat, mengadakan mesyuarat pemutus untuk memilih para pemenang.

Kelimat, menjemput calon-calon pemenang ke majlis penyampaian anugerah pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak MSOSH.

Akhir sekali, sekali lagi terima kasih MSOSH dan barisan kepimpinan yang diketuai oleh Dr. Shawaluddin kerana memberi peluang kepada saya untuk berada di sini untuk menyampaikan sepatah dua kata pada petang ini dan seterus merasmikan Anugerah Media MSOSH 2022.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada MSOSH atas penganjuran Persidangan Asia-Pacific Occupational Safety and Health Organization (APOSHO) 2023 di Kuala Lumpur.

Sekian, terima kasih.