UMS dan MPI bekerjasama adakan kursus kewartawanan
Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Malaysian Press Institute (MPI) bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam melatih para wartawan Sabah untuk meningkatkan kemahiran pelaporan mengenai isu-isu luar bandar dan kawasan pedalaman di negeri itu.
Persetujuan ini dicapai pada pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif MPI dengan Naib Canselor UMS,Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah yang diadakan di pejabat Naib Canselor itu di Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2013.
Inisiatif untuk mengadakan siri kursus untuk para wartawan Sabah itu diusulkan oleh Dekan Sekolah Sains Sosial UMS, Profesor Hamdan Adnan yang berpendapat bahawa program seumpama itu penting untuk melestarikan kemahiran kewartawanan terutama di kalangan wartawan muda yang berada di luar Kota Kinabalu dalam usaha untuk menajamkan naluri mereka menghidu berita untuk dijadikan berita dan rencana.
“Bimbingan ini penting untuk membolehkan para wartawan, terutama wartawan muda, meningkatkan kemahiran laporan mereka berkait isu-isu di luar bandar dan kawasan pendalaman,” kata Hamdan.
Menurut beliau, UMS bersedia menawarkan kemudahan tempat bagi mengadakan kursus-kursus seumpama itu manakala MPI yang mempunyai jaringan dengan organisasi berita dan wartawan berpengalaman boleh menyediakan tenaga pengajar.
Selain itu, sebilangan organisasi lain seperti Persatuan Wartawan Sabah, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Sabah, Jabatan Penerangan Sabah juga berminat dalam usaha itu.
Chamil, bagi pihak MPI menyambut baik cadangan tersebut manakala Penolong Pengarah Berita dan Ehwal Semasa RTM Sabah, Encik Francis Fahir yang juga pemangku presiden Persatuan Wartawan Sabah, turut mengalu-alukan inisiatif Profesor Hamdan itu.
Pada pertemuan dengan Naib Canselor UMS itu, Chamil juga menyampaikan sumbangan buku-buku kewartawanan terbitan MPI dan buku-buku lain karangan beliau kepada Profesor Datuk Dr. Mohd Harun. Satu set buku-buku itu juga disumbangkan kepada perpustakaan UMS.
Chamil berada di Kota Kinabalu bagi menghadiri majlis penyampaian Shell Kinabalu Press Awards yang telah diadakan pada 17 Ogos 2013. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman adalah tetamu kehormat majlis itu. Chamil adalah pengerusi penal hakim anugerah Shell Kinabalu.
Sewaktu berada di Kota Kinabalu Chamil juga telah mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan wartawan Kota Kinabalu. Ini termasuk pertemuan dengan Penolong Pengarah Berita dan Ehwal Semasa RTM Sabah, Francis Fahir, pengurus Sabahfm, Zainuddin Jamilu dan penyiar Lailah Elok.
Beliau turut menjadi tetamu Sabahfm bagi menerangkan tentang peranan dan fungsi MPI serta kursus-kursus yang dianjurkan sepanjang 2013.
1. Chamil (tengah) menyerahkan buku-buku terbitan MPI kepada Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, disaksikan oleh Profesor Hamdan Adnan (kiri), Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS).
2. Chamil (kiri) menunjukkan salah satu buku karyanya, Najib Razak Pendakian ke Puncak Kuasa kepada Profesor Datuk Dr. Mohd Harun (kanan).
3. Chamil bergambar kenangan dengan Profesor Datuk Dr. Mohd Harun serta pegawai-pegawai UMS pada pertemuan di pejabat Naib Canselor pada 16 Ogos 2013.
4. Chamil dan Profesor Datuk Dr. Mohd Harun pada pertemuan di UMS.