Usia 35 tahun bukti kecemerlangan HKM – Shabery Cheek

Kata-kata aluan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang dimuatkan dalam buku program Malam Wartawan Malaysia 2015 yang diedarkan kepada para tetamu pada 8 Jun 2015 di Istana Hotel, Kuala Lumpur, jam 8 malam. Beliau adalah tetamu kehormat majlis anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu yang dianjurkan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2014.

HADIAH Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS tahun ini menginjak usia ke-35 tahun dalam mengiktiraf penulisan karyawan tempatan. Secara langsung ia menjadi titik kematangan kepada Malaysian Press Institute (MPI) dalam mengendalikan acara penyampaian anugerah berprestij yang dihadiri oleh pelbagai organisasi media, agensi kerajaan dan swasta.

Dalam mengeluarkan ‘permata’ daripada karya-karya bermutu tinggi, saya amat kagum dengan usaha MPI-PETRONAS mengiktiraf tulisan karyawan media tempatan biarpun pada saat ini  mereka begitu tercabar dengan penulisan wartawan siber yang hadir dalam media baharu hasil projek Koridor Raya Multimedia (MSC) setelah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada 1996.

Perubahan era teknologi maklumat mengalami revolusi yang begitu drastik di negara ini membolehkan rakyat melangkah ke satu fasa kebebasan dalam dunia siber. Ditambah kehadiran pelbagai gajet dan telefon pintar di pasaran membolehkan rakyat mengaplikasi berita terkini dalam tempoh 24 jam dengan hanya menggunakan hujung jari walau di mana sahaja mereka berada.

Biarpun berlaku persaingan dalam bidang kewartawanan khususnya kewartawanan digital (juga disebut wartawan warga), HKM ternyata menjadi medium membezakan kredibiliti pemberitaan dari segi kualiti pelaporan, pengunjuran fakta dan analisis.

Sudah menjadi tanggungjawab pengamal media khususnya wartawan menyampaikan maklumat yang betul, tepat dan adil kepada masyarakat. Selain itu, tulisan itu pula perlu bersifat membina untuk kebaikan dan kesejahteraan bersama.

Diharapkan agar pengamal media terus bertanggungjawab dalam melapor dan menyampai maklumat yang betul, tepat dan adil kepada masyarakat dan seterusnya penulisan atau pelaporan itu menjadi ‘ejen perubahan’ kepada masyarakat.

Saya yakin bahawa dunia kewartawanan tidak akan terhenti di sini kerana masyarakat masih memerlukan maklumat yang benar dan berkualiti daripada penulisan-penulisan atau pelaporan yang disampaikan menerusi pelbagai medium media di negara ini.