Utusan Borneo Sabah pertajamkan penulisan berita mereka

Pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kewartawanan dan juga media yang dikongsi oleh penceramah kepada sembilan belas (19) orang peserta yang terdiri daripada Ketua Pengarang, Pengarang, Pemberita dan juga Penyunting dari Utusan Borneo Sabah telah mengembalikan semula ingatan para peserta tentang pentingnya etika kewartawanan dan juga asas-asas kewartawanan dalam penulisan berita mereka.

 

Julai 18 Utusan Borneo 011. Para peserta bengkel sedang khusyuk mendengar dan mencatat nota yang disampaikan oleh penceramah di bengkel tersebut.

 

Dengan tajuk yang menarik iaitu BAGAIMANA MENULIS BERITA DALAM BAHASA YANG MUDAH, PADAT & RINGKAS telah membuatkan para peserta bengkel KEWARTAWANAN PRAKTIKAL ini menjadi lebih meriah dan seronok.

Bengkel yang diadakan pada 6 & 7 Julai 2017 di Bilik Persidangan, Wisma KTS, Kota Kinabalau Sabah telah menampilkan Encik Rozaid A. Rahman, Pengarang Eksekutif, STAR Media Group sebagai penceramah. Ia dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI).

Bengkel ini telah membantu para peserta untuk memahami dan mendalami cara-cara dan bagaimana menulis berita dengan betul dan tepat tetapi pada masa yang sama, ringkas dan padat tanpa mencacatkan struktur penulisan berita itu sendiri.

 

Julai 18 Utusan Borneo 022. Penceramah Kursus, Encik Rozaid bin Abdul Rahman, Pengarang Eksekutif, STAR Media Group yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan sedang menyampaikan ceramahnya.

 

Julai 18 Utusan Borneo 033. Antara para peserta kursus dari Utusan Borneo Sabah yang hadir di bengkel tersebut.

Keseluruhan peserta berharap agar bengkel seperti ini dapat diadakan dari semasa ke semasa kerana ianya banyak memberi pengetahuan baharu kepada wartawan dalam bidang penulisan, disamping memastikan wartawan/pihak editorial Utusan Borneo dapat memperbaiki segala kelemahan dalam usaha meningkatkan kualiti akhbar itu sendiri.