UUM hargai MPI sebagai rakan strategik akademik

Malaysian Press Institute (MPI) adalah antara rakan strategik akademik yang menerima penghargaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 27 Mac 2015.

Penghargaan dalam bentuk sijil itu disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya.

Penghargaan itu diberi sebagai mengiktiraf peranan MPI dalam mendayausahakan  program ijazah Sarjana Sains dalam bidang Komukasi Kepengurusan (Master of Science in Managerial Communication) khusus untuk pengamal para wartawan yang diperkenalkan pada 2012.

Kumpulan pertama sembilan orang yang mengikuti program telahpun menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen UUM pada November 2014.

Kumpulan kedua, ketiga dan keempat seramai 19 orang pula dijangka menamatkan pengajian pada pertengahan tahun ini dan bakal menerima ijazah pada November 2015.

Selain itu, Datuk Dr. Chamil juga dibabitkan oleh UUM sebagai panel penasihat dalam menggubal kurikulum bagi ijazah sarjana kewartawanan multimedia yang dijangka diperkenalkan pada sesi akademik bermula September 2015.

Sempena penyampaian sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang terdiri daripada organiasi media, produksi drama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pekerja bidang seni dan seni kreatif  itu, Profesor Datuk Wira Dr. Mustafa juga telah mengadakan perbincangan meja bulat selama dua jam dengan rakan-rakan strategik UUM yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Selain MPI, turut hadir adalah wakil dari Utusan Melayu Malaysia Berhad (UMMB), Kumpulan Karangkraf yang merupakan penerbit majalah terbesar negara, agensi berita nasional Bernama, Kumpulan Media Prima Berhad, Berita Harian, New Straits Times, TV3, Kumpulan Media Al-Hijrah, syarikat produksi yang menerbitkan drama, OrangeTree, pertubuhan yang mewakili golongan artis iaitu Seniman, Kumpulan Kandungan Industri Kreatif (CCIG) Yayasan Salam, Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia dan sebilangan syarikat penerbitan lain.

Pada pertemuan itu, Naib Canselor UUM itu menerangkan bahawa UUM amnya dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi khususnya telah membuka pintunya seluas-luasnya kepada kerjasama dengan rakan-rakan strategiknya untuk memenuhi keperluan industri terutamanya dalam bidang industri kreatif dan komunikasi.

“Anda boleh menjadikan UUM sebagai back office anda dalam erti kata menggunakan kemudahan yang ada serta tenaga akademik untuk menghasilkan karya-karya kreatif dan bukan kreatif anda,” tegas beliau.

Beliau mengalu-alukan sebarang cadangan bernas daripada rakan-rakan strategik UUM untuk membantu universiti itu menghasilkan para graduan yang boleh berenang dalam kerjaya pilihan mereka sebaik sahaja menamatkan pengajian selari dengan keperluan pembangunan modal insan negara.

“Malah memang menjadi matlamat UUM untuk menghasilkan para lulusan yang tailor made bagi memenuhi keperluan industri kreatif negara,” tegas beliau.

Untuk mencapai tujuan itu beliau memaklumkan para peserta persidangan meja bulat bahawa UUM akan memanfaatkan sepenuhnya kampusnya di Kuala Lumpur untuk pengajian bidang industri kreatif yang sedang dalam proses penilaian agensi pengiktirafan Malaysia iaitu MQA, baik secara sepenuh masa atau secara sambilan.

Profesor Datuk Wira Dr. Mustafa juga menerangkan bahawa UUM sedang melalui transformasi dalam kaedah pengajaran korikulumnya kepada para pelajarnya bagi memenuhi impian negara dalam melahirkan para pelajar yang kreatif dan berinovasi setanding dengan lulusan-lulusan universiti terkemuka dunia.

Menurut beliau, kaedah mengajar di UUM dalam bidang-bidang tertentu tidak lagi akan memberi tumpuan kepada syarahan yang berjela-jela atau berpaksikan kelas semata-mata, tetapi sebaliknya akan ditransformasikan untuk menggambarkan industri kreatif itu sendiri.

Beliau juga membayangkan para pelajar dalam bidang komunikasi dan industri kreatif yang pada waktu ini menjalani latihan industri selama enam bulan, akan dikehendaki untuk menjalani latihan amali yang lebih lama mungkin sehingga setahun.

Dengan cara ini, para pelajar itu bukan sahaja diasuh dengan latar belakang keilmuan yang tinggi, tetapi mempunyai kemahiran-kemahiran untuk menjadikan mereka sebagai pekerja berkemahiran tinggi yang menjadi buruan majikan.

Beliau juga membayangkan bahawa lebih ramai tenaga pakar dalam bidang industri akan diambil menjadi tenaga pengajar sebagai profesor adjung, jika perlu.

Turut hadir pada persidangan meja bulat itu ialah Penolong Naib Canselor Kolej Sastera dan Sains UUM, Profesor Dr. Norshuhadah Shiratuddin, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (PPTMK), Dr. Rosli Mohammed, Timbalan Dekan PPTMK Dr. Norsiah Abdul Hamid, Ketua Jabatan Komunikasi, Dr. Khairi Ahmad dan pensyarah kewartawanan, Azahar Kasim serta pegawai-pegawai UUM lain.

1. Rakan-rakan strategik akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) bergambar kenangan dengan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak selepas menerima sijil penghargaan masing-masing.

2. Datuk Dr. Chamil (kanan) menerima sijil penghargaan daripada Profesor Datuk Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak (dua kanan). Turut kelihatan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Dr. Rosli Mohammed dan Encik Azahar Kasim, pensyarah kewartawanan UUM.

3. Profesor Datuk Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak (dua kiri) mempengerusikan persidangan meja bulat dengan rakan strategik akademik UUM pada 27 Mac 2015 di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Turut hadir: Profesor Dr. Norshuhadah Shiratuddin, Penolong Naib Canselor Kolej Sastera dan Sains UUM (kanan); Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Dr. Rosli Mohammed (dua kanan) dan timbalannya, Dr. Norsiah Abdul Hamid (paling kanan).

4. Rakan-rakan strategik akademik UUM yang hadir pada persidangan meja bulat pada 27 Mac 2015 di Kuala Lumpur.

5. Datuk Dr. Chamil (berjaket hitam) mengajukan pandangan pada persidangan meja bulat.

Gambar ehsan Unit Komunikasi Korporat (UKK), UUM.