UUM, UiTM guna buku kewartawanan MPI sebagai rujukan
Dua buah buku kerwartawanan terbitan Malaysian Press Institute (MPI) kini digunakan sebagai bacaan rujukan dalam program komunikasi bagi subjek kewartawanan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Buku-buku itu ialah Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran dan Kewartawanan dan Media Era Digital Isu-isu Semasa. Kedua-dua buah buku itu diterbitkan pada 2012.
Buku Membongkar Penyelewengan dan Mencari Kebenaran digunakan sebagai bahan bacaan bagi para pelajar bidang kewartawanan penyiasatan (investigative journalism). Subjek itu diajar oleh pensyarah Azahar Kassim.
Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran dalah kompilasi 19 buah karya para pemenang Anugerah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) antara 1982 hingga 2011.
Anugerah Kajai adalah hadiah tertinggi dalam HKM dan laporan-laporan yang menang lazimnya berbentuk kewartawanan penyiasatan dan dianggap karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia.
Buku Kewartawanan dan Media Era Digital Isu-isu Semasa, karangan Datuk Chamil Wariya pula dijadikan salah satu bahan bacaan bagi subjek Asas Kewartawanan. Pensyarah yang mengajar subjek ini ialah Awan Ismail.
Buku tersebut memberi gambaran menyeluruh tentang industri berita dan organisasi berita zaman Internet. Cabaran-cabaran yang dihadapi media lama menghadapi saingan media baharu telah dikupas secara terperinci oleh pengarangnya.
Azhar dan Awan memaklumkan penggunaan kedua-dua buku itu sebagai bahan rujukan sewaktu mereka mengunjungi MPI untuk memberi taklimat tentang program Sarjana Sains Komunikasi pada 6 Mac 2013. Majlis taklimat itu diberi oleh ketua jabatan komunikasi UUM, Dr. Rosli.
Sementara itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut menggunakan buku Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran sebagai bahan bacaan untuk para pelajar dalam bidang kewartawanan iaitu subjek yang dibimbing oleh Dr. Rahmat Ghazali.
MPI ingin merakamkan penghargaan kepada para tenaga pengajar UUM dan UiTM kerana telah menyenaraikan penerbitannya sebagai bahan bacaan untuk para pelajar bidang kewartawanannya.
“Saya berharap universiti-universiti lain – awam dan swasta – yang menawarkan kursus dalam bidang media, komunikasi dan kewartawanan juga akan berbuat demikian pada masa-masa akan datang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.
Menurut Chamil, selain menjadikan latihan kewartawanan untuk pengamal media sebagai tugas teras, MPI juga berazam untuk memperkayakan khazanah buku-buku kewartawanan tempatan dengan membabitkan diri dalam bidang penerbitan yang khusus mengenai kewartawanan dan media.
Selain Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran dan Kewartawanan dan Media Era Digital Isu-isu Semasa, MPI juga menerbitkan: Memapar Realiti Prinsip-prinsip Utama dan Asas Kewartawanan Siaran; Penulisan Berkesan, Terbilang Potret Tokoh Wartawan Negara; Kod Etika Kewartawanan Malaysia dan penerbitan tahunan Daftar Media.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan buku-buku itu, sila hubungi: 03-20952013/14. Diskaun istimewa sehingga 30 peratus daripada harga jualan di pasaran akan diberikan kepada mereka.
- Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran
2. Kewartawanan dan Media Era Digital Isu-isu Semasa