WAKIL KELAB KEWARTAWANAN UUM KUNJUNGI PEJABAT MPI

Kelab Kewartawanan Universiti Utara Malaysia (UUM) berminat untuk mengadakan kerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI) dalam penganjuran kursus-kursus kewartawanan untuk para ahlinya.

Kelab itu juga bersedia untuk mengikuti program-program latihan MPI yang sedia ada bagi membolehkan ahli-ahli kelab mendapat gambaran sebenar berkenaan industri media di negara ini sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Kesediaan ini dinyatakan oleh presidennya, Encik Mohamad Hakimi Abdull Rahman sewaktu mengadakan kunjungan singkat ke MPI baru-baru ini. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah ketua biro latihan dan dan Kelab Wartawan UUM, Encik Muhammad Ashraf Shamsi.

Pada pertemuan itu, mereka telah diberi taklimat oleh Pengurus Latihan MPI, Puan Norhafiza Kamaludin.

Kelab Keartawananan UUM terletak di bawah Pusat Budaya & Seni, Universiti Utara Malaysia (PBSUUM) Sintok, Kedah.

Lawatan akademik ke pejabat Malaysian Press Institute (MPI) diadakan bertujuan untuk mengenali dengan lebih dekat lagi mengenai pusat latihan kewartawanan yang menyediakan latihan khusus untuk pengamal media di Malaysia selain membincangkan mengenai kerjasama antara Kelab Wartawan UUM-MPI.

Kelab yang baharu ditubuhkan itu masih kekurangan pengetahuan berkenaan dunia kewartawanan tetapi telah berjaya ditubuhkan di bawah PBSUUM bertujuan untuk mempromosikan kewartawanan di dalam kampus.

Antara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah pihak Kelab Wartawan UUM berminat dengan kursus-kursus yang ditawarkan dan bercadang ingin berkolaborasi bersama MPI dengan menghadiri beberapa program yang dianjurkan oleh MPI untuk mendapatkan gambaran sebenar berkenaan industri media di Malaysia sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Menurut Hakimi, program-program anjuran MPI yang menumpukan kepada kewartawanan di mana salah satu objektifnya adalah untuk mengasah kemahiran pengamal media telah menarik minat beliau untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai kursus-kursus anjuran MPI dan seterusnya bekerjasama dalam menganjurkan program tersebut bermula bulan Ogos nanti.

Dua orang kuat Kelab Kewartawanan UUM  Encik Mohamad Hakimi Abdull Rahman selaku presiden  & Encik Muhammad Ashraf Shamsi selaku Exco/Biro Latihan dan Pendidikan, Kelab Wartawan UUM semasa berkunjung ke pejabat MPI.