Wartawan Arus Perdana Harus Pantas, Tepat Untuk Saingi Media Alternatif

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Wartawan media arus perdana perlu memastikan ketepatan fakta sesuatu laporan selain menekankan aspek kepantasan penyebaran berita bagi menyaingi media alternatif yang bergantung kepada teknologi atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya berkata wartawan harus sentiasa berpegang kepada asas etika kewartawanan, iaitu memastikan berita yang ingin disalur kepada audiens adalah berlandaskan maklumat yang tepat.

“Kepesatan teknologi zaman sekarang telah mendorong wartawan untuk menyebarkan berita sesaat selepas ia berlaku. Berbeza dengan zaman dahulu di mana kita dengar berita paling awal di radio, televisyen dan surat khabar pada keesokan harinya.

“Tetapi, walaupun (wartawan arus perdana) perlu pantas, masih perlu untuk kita sampaikan fakta dengan betul berlandaskan sumber yang sah dan boleh dipercayai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2014 Khamis.

Terdahulu, Editor Kosmo Datuk Baharom Mahusin, dalam ucapan penutupnya, berkata adalah penting bagi wartawan untuk mengekalkan semangat setiakawan sesama mereka.

Program yang memasuki tahun keempat itu menyaksikan Mohd Faizul Fazrik Kamarudin (Jabatan Penerangan Malaysia) meraih Anugerah Peserta Lelaki Terbaik, Juliana Sharin (Media Prima Bhd) menggondol Anugerah Peserta Wanita Terbaik manakala Kenny Thomas (Jabatan Penerangan Malaysia Sabah) menerima Anugerah Khas.

BERNAMA

Sumber: bernama.com, 16 Januari 2014