Kursus
WARTAWAN BISNES PERLU LEBIH MULTIFUNGSI

WARTAWAN BISNES PERLU LEBIH MULTIFUNGSI

Jika kita membaca suratkhabar atau berita di portal dan internet, selalunya kita akan langkau seksyen bisnes dan ekonomi. Mungkin ianya tidak begitu menarik perhatian kita untuk membacanya. Sedangkan perniagaan dan ekonomi sama pentingnya dengan berita semasa. Hasil kerja wartawan bisnes ini juga jarang diperkatakan. Maklumlah semua bermain dengan fakta dan nombor. Namun peranan mereka tidak wajar diketepikan.

Memberi peluang kepada wartawan bisnes menambah kemahiran kewartawanan, Malaysian Press Institute (MPI) telah menganjurkan satu bengkel pelaporan bisnes bagi memberi lebih ilmu dan perkongsian yang bermanfaat kepada wartawan-wartawan bisnes. Bengkel telah diadakan pada 29 dan 30 September 2021, secara atas talian.

MPI turut membawa penceramah jemputan yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan perniagaan dan ekonomi, Datuk Yong Soo Heong yang juga mantan Pengurus Besar BERNAMA sekitar tahun 2014.

Datuk Yong telah berkongsi pelbagai tips dan fakta berkenaan kewartawanan bisnes dan berkongsi pengalaman beliau semasa bergelar wartawan. Para peserta didedahkan dengan teknik penulisan berita bisnes dan ekonomi yang lebih efektif, menekankan aspek-aspek penting seperti ketetapan masa, fakta yang jelas dan fokus kepada perubahan jisim ekonomi negara dan antarabangsa. Begitu banyak kisah menarik turut dikongsikan kepada 16 orang peserta yang terdiri daripada wartawan meja bisnes dan ekonomi.

Selain perkongsian menarik, Datuk Yong turut menegaskan kepada peserta supaya tidak hanya fokus kepada bisnes sahaja. Wartawan seharusnya mengendalikan pelbagai fungsi jika diperlukan sebagai contoh, mengendalikan pelaporan am atau antarabangsa. Ini penting untuk meletakkan peranan wartawan sebagai fungsi penyebar maklumat pelbagai aspek.

Bagi menambah perisa dalam bengkel beliau, Datuk Yong turut menjemput rakan seperjuangan beliau untuk sama-sama berkongsi pengalaman kewartawanan bersama peserta. Cik Saraswathi Muniappan, Editor Berita BERNAMA dan Puan Massita Ahmad, Wartawan Bisnes BERNAMA berpengkalan di Singapura. Mereka telah berkongsi pelbagai pengalaman menarik dan para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan kepada kedua-dua figura tersebut.

Selain sesi ceramah, para peserta juga diberikan latihan menulis berita dan hasil tulisan masing-masing dibincangkan pada sesi hari kedua bengkel.

Secara keseluruhannya, semua peserta berpuas hati dengan penganjuran bengkel ini dan berharap agar bengkel atau kursus yang melibatkan perniagaan dan ekonomi diperbanyakkan lagi supaya wartawan meja bisnes dapat menambah lagi pengetahuan ilmu bermanfaat.

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

Datuk Yong Soo Heong memberi penerangan dan perkongsian bersama peserta bengkel pada hari pertama.
Peserta dari NTV7, Afrina Romzi bertanyakan soalan kepada penceramah berkaitan topik yang dibincangkan.
Rakan jemputan penceramah, Cik Saraswathi Muniappan dan Puan Massita Ahmad, berkongsi pengalaman dan kisah menarik sepanjang bergelar wartawan bisnes.
Semua peserta bergrup foto di akhir sesi bengkel bersama penceramah. Terima kasih semua!