MPI release
WARTAWAN MESTI FAHAM DASAR LUAR NEGARA

WARTAWAN MESTI FAHAM DASAR LUAR NEGARA

Wartawan yang bertugas untuk menulis isu-isu antarabangsa dan dasar luar negara disaran meningkatkan pengetahuan mereka mengenai dasar luar Malaysia bagi membolehkan mereka menghasilkan penulisan bermutu tinggi dan berwibawa. 

Untuk mencapai hasrat tersebut, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Negeri bersedia bekerjasama dengan Malaysian Press Institute(MPI) untuk menganjurkan program latihan mengenai pelbagai aspek dasar luar Malaysia. Itu pandangan YBhg. Dato’ Mohd Zamruni Khalid, Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) yang hadir ke pejabat Malaysian Press Institute pada 6 November 2019.

Beliau hadir ke MPI untuk bertemu dengan Datuk Dr. Chamil Wariya bagi membincangkan beberapa perkara termasuk usaha sama yang akan dilaksanakan antara IDFR dan MPI yang meliputi program latihan bersama diplomat dan media. Hadir sama dalam perbincangan tersebut ialah Puan Norhafiza Kamaludin, Pengurus Latihan MPI dan Puan Nur Ramizah Abdul Aziz, Setiausaha Pentadbiran MPI.

Kunjungan beliau dilihat membuka peluang kepada media untuk lebih memahami peranan IDFR dengan lebih serius melalui perancangan kerjasama antara MPI dan IDFR. Kursus-kursus berkaitan isu dan dasar luar negeri akan diperluaskan kepada wartawan-wartawan Malaysia kerana jika diperhatikan, wartawan-wartawan tempatan masih tidak begitu jelas memahami peranan diplomasi negara serta isu-isu antarabangsa. Amat penting untuk wartawan tempatan memiliki pengetahuan yang tinggi dalam melaporkan isu-isu antarabangsa supaya pelaporan yang disediakan dapat disampaikan dengan tepat.

MPI terbuka untuk menjalin kerjasama dengan IDFR melalui program-program latihan ini dan berharap ianya dapat dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Pada pertemuan itu juga Dato’ Mohd Zamruni turut menyampaikan hasrat IDFR untuk melantik Datuk Dr. Chamil Wariya sebagai ahli Panel Felo Kehormat IDFR bagi mewakili organisasi media. Untuk rekod, Panel Felo Kehormat ditubuhkan pada 2016 bertujuan untuk memantapkan halatuju IDFR yang meliputi pelbagai aspek termasuk akademik dan media. Panel tersebut akan bermesyuarat dua kali dalam setahun dan mesyuarat seterusnya adalah pada Disember 2019.

Rangkuman gambar-gambar: