Zamalah 2016 Mantapkan Ilmu Kewartawanan Peserta

Zamalah Wartawan 1Malaysia telah membuka tirai kursus bagi tahun 2016 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Jabatan Penerangan negeri Kedah. Kursus dua minggu di negeri Kedah ini adalah program kali ke-enam anjuran MPI. Kursus yang bermula pada 18 Januari telah diadakan di Hotel Holiday Villa City Centre Alor Setar dan berakhir pada 29 Januari di The Regency Jerai Hills Resort, Gurun.

Majlis pelancaran Zamalah Wartawan 1Malaysia 2016 telah dirasmikan oleh YB Datuk Mohd Tajuddin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah di Holiday Villa City Centre pada 18 Januari 2016 manakala majlis penutupan pula telah disempurnakan oleh Encik Mohd Fauzi Othman, Penolong Pengarah Penyelidikan Strategi Jabatan Penerangan Negeri Kedah yang mewakili Dr. Haniff Hassan di Jerai Hills Resort, Gurun pada 29 Januari 2016.

zamalah 01 (1280x853)

  1. YB Datuk Mohd Tajuddin Abdullah (tengah) menerima cenderahati berupa koleksi buku terbitan MPI daripada Dato’ Dr. Chamil Wariya (kiri) sambil diperhatikan oleh Encik Mohd Fauzi Othman (kanan) pada majlis perasmian Zamalah Wartawan 1Malaysia.

Seramai 20 orang peserta, yang mewakili pelbagai pertubuhan berita di negara ini telah berkampung di Alor Star dan Jerai selama dua minggu. Mereka mewakili organisasi media cetak, media penyiaran dan portal seperti Utusan Malaysia, KOSMO!, Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, BERNAMA, Dewan Bahasa dan Pustaka, Borneo Post, RTM KL, RTM Sarawak, TV Alhijrah, Astro Awani dan MalaysiaAktif. Masing-masing menghantar seorang wartawan dan wartawan sambilan mereka, manakala dari Jabatan Penerangan pula, Penerangan negeri Sabah menghantar tiga (3) orang Pegawai Penerangan, Pulau Pinang menghantar dua (2) orang Pembantu Penerangan dan Negeri Kedah menghantar seorang Pembantu Penerangan.

zamalah 02 (1280x853)

  1. Para peserta zamalah sedang khusyuk mendengar ceramah oleh salah seorang penceramah jemputan.

Selama seminggu berada di Alor Setar, penceramah yang terdiri daripada para wartawan kanan yang berpengalaman luas serta ahli-ahli akademik tersohor yang pakar dalam bidang masing-masing telah membimbing para peserta Zamalah ini. Mereka telah diberi tunjuk ajar mengenai perkara-perkara yang teknikal seperti media dan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan fungsi tiga cabang kuasa Negara yang perlu wartawan ambil tahu.

zamalah 03 (1280x853)

  1. Prof. Madya Shamrahayu A. Aziz sedang memberi ceramah tentang Perlembagaan  Persekutuan dan fungsi tiga cabang kuasa Negara.

Selain itu topik seperti Cabaran dan Peranan Wartawan dalam Dunia Media hari ini, Berani Bertanya, Teknik Menemuramah dan Sidang Akhbar, Pemberitaan Jenayah & Pemberitaan Mahkamah, Penulisan Rencana & Naratif dan sesi motivasi & kemahiran insaniah juga telah turut dikongsi bersama para peserta.

zamalah 04 (1280x853)

  1. Salah satu kumpulan sedang membincangkan tips untuk menjadi seorang penulis   rencana yang baik dan bermutu.

Manakala pada minggu kedua pula, para peserta telah dibawa ke sebuah resort di Gunung Jerai dikenali sebagai The Regency Jerai Hills Resort bagi mengikuti sesi latihan praktikal kewartawanan foto dan kewartawanan multimedia. Ini bagi melengkapkan lagi kerjaya kewartawanan yang semakin mencabar dan memerlukan pengamal media bukan sahaja menguasai teknologi teks, malah menguasai ilmu audio dan video. Disini para peserta telah didedahkan dengan satu topik menarik dalam kewartawanan multimedia iaitu Mojo (Mobile Journalism) selain daripada topik kewartawanan foto dimana peserta diajar bagaimana untuk mengambil gambar dengan teknik yang betul.

zamalah 05 (1280x853)

  1. Peserta sedang ber”selfie” bersama penceramah dari Utusan Online, Utusan Malaysia dalam sesi Kewartawanan Multimedia.

Antara penceramah jemputan MPI selama dua minggu berkursus adalah Datuk Dr. Chamil Wariya, Dr. T Selva, Prof Datuk Salleh Buang, Prof Madya Shamrahayu A. Aziz, Prof Madya Dr. Jeniri Amir, Puan Yusanani Yushak, Encik Zainal Abdul Halim dan Encik Mohammed Hazli Mohammed Hassan.

zamalah 06 (1280x853)

  1. Salah seorang peserta bertanyakan soalan kepada YB Datuk P. Kamalanathan, Timb. Menteri Pendidikan Malaysia dalam sesi Berani Bertanya oleh Dr. T Selva.

Selain daripada kuliah yang telah dijalankan, serta beberapa latihan yang perlu disiapkan, peserta yang hadir dari pelbagai tempat seperti contoh Sabah dan Sarawak tidak menjadikan asal usul mereka sebagai satu masalah untuk mereka bekerjasama dalam menjalankan aktiviti diadakan. Malahan mereka lebih mesra dan selesa mencari kenalan baru selama mereka berada di Kedah.

zamalah 07 (1280x853)

  1. Keakraban para peserta dapat dilihat semasa sesi Lawatan ke Loji Pengisian LPG   PETRONAS Prai.

Selain aktiviti di dalam kelas, para peserta juga dibawa melawat ke Loji Pengisian LPG PETRONAS Prai untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat lagi bagaimana ianya beroperasi. Lawatan ke Padang Besar & Tanjung Dawai juga telah diatur untuk memberi keseronokan kepada para peserta.

zamalah 08 (1280x853)

  1. Hidangan makanan laut segar yang terdapat di Tanjung Dawai telah membuka   selera para peserta untuk menjamu selera di sana.

Banyak pengalaman dan ilmu yang telah dikutip oleh para peserta kursus Zamalah pada kali ini. Rata-rata peserta memuji modul kursus Zamalah Kewartawanan 1Malaysia ini sangat membantu meningkatkan ilmu kewartawanan sedia ada selain mencabar jati diri wartawan untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang, juga menjadikan pengalaman penceramah sebagai panduan dalam menyampaikan berita dengan lebih berkesan. Selain itu, pengalaman berkomunikasi dengan rakan kursus daripada pelbagai latarbelakang membuatkan idea dan pemikiran berkembang.

zamalah 09 (1280x636)

  1. Kesemua 20 orang peserta bersorak gembira bersama sijil penyertaan yang diterima pada majlis penutupan dan penyampaian sijil peserta Zamalah di Jerai Hills Resort, Gurun.