Zamalah Kewartawanan CENTHRA-MPI dedahkan Isu Hak Asasi Manusia kepada peserta
Isu Hak Asasi Manusia telah menjadi isu penting susulan kemunculan isu-isu sensasi mengenai hak asasi manusia seperti perjuangan menuntut hak-hak sivil dan politik, hak LGBT, isu tuntutan penggunaan kalimah Allah dan lain-lain.
Justeru, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) buat julung-julung kali menganjurkan Zamalah Kewartawanan Hak Asasi Manusia pada 17 hingga 21 Ogos 2015 bertempat di pejabat CENTHRA di Putrajaya.
Program sulung anjuran CENTHRA-MPI ini bertujuan untuk memperkenalkan ilmu pengetahuan dalam bidang kewartawanan kepada para peserta dengan memberikan penekanan dan tumpuan terhadap isu-isu hak asasi manusia. Selain itu, diharap program ini dapat memupuk semangat dan minat para peserta tentang keperluan menyebarluaskan perjuangan hak asasi manusia dalam dunia kewartawanan. Ketiganya, untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran asas kewartawanan seperti penulisan rencana dan berita, kaedah penyelidikan serta pembikinan foto dan video.
Menerusi penceramah pakar yang dijemput, program ini turut dapat memberi peluang kepada para peserta untuk memperoleh pengalaman dalam dunia kewartawanan dan yang terakhir sekali Zamalah ini bercita-cita mewujudkan platform interaksi dikalangan peserta dalam usaha membina generasi wartawan hak asasi manusia yang berdedikasi lagi berkesan di tanah air.
Tenaga pengajar atau penceramah pakar yang terlibat dalam kursus Zamalah ini terdiri daripada editor kanan media, pensyarah institusi pengajian tinggi dan pengamal media berpengalaman dari pertubuhan media di Malaysia. Antaranya Datuk Ahmad A. Talib, Datuk Baharom Mahusin, Datuk Dr. Ibrahim Yahaya, Datuk Dr. Chamil Wariya, Dr. Jeniri Amir, Profesor Salleh Buang, En Zainal Abdul Halim, Mohammed Hazli Mohammed Hassan dan Puan Maimunah Abd Rashid.
Salah seorang peserta berpendapat bahawa program ini merupakan satu pendedahan yang sangat bermakna bagi dirinya dan beliau akan cuba untuk sampaikan kepada masyarakat apa sebenarnya hak asasi manusia disamping memperjuangkan tentang hak asasi manusia itu sendiri. Diharapkan 16 orang peserta terdiri dari para akademik, peguam, aktivis NGO, penulis dan pelajar yang menamatkan kursus selama seminggu ini akan mula membaktikan apa yang telah dipelajari & difahami mereka.
Berikut antara wajah-wajah tenaga pengajar yang menyampaikan ceramah dan suasana program Zamalah Kewartawanan Hak Asasi Manusia daripada hari pertama hingga hari kelima.
Oleh Norhafiza Kamaluddin.
1. Datuk Ahmad A. Talib, mantan Penasihat Kumpulan, Corporate Social Responsibility (CSR), Media Prima Berhad (MPB) dalam sesi pengenalan: Kerjaya sebagai Wartawan.
2. Encik Mohammed Hazli atau Bobo dari Utusan Malaysia untuk sesi Kewartawanan Multimedia.
3. Datuk Baharom Mahusin, Pengarang KOSMO! dengan topik penting iaitu sesi Penulisan Berita.
4. Dr. Jeniri Amir dari UNIMAS menerangkan tentang Penulisan Rencana yang efektif.
5. Datuk Dr. Ibrahim Yahaya, Setiausaha Media TPM mengendalikan sesi Membuat Press Release & Senario Bilik Berita.
6. Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI dengan sesi Sidang Akhbar (Press Conference) & Temuramah.
7. Profesor Salleh Buang, Pensyarah Tamu, UTM dalam sesi Undang-undang & Media.
8. Encik Zainal Halim, Pengarang Foto, Malaysian Insider memberi tips berguna bagaimana untuk mengambil gambar dengan cara yang betul.
9. Para peserta sedang khusyuk mendengar ceramah dari salah seorang otai wartawan di Malaysia.
10. Sesi Kewartawanan Multimedia, antara aktiviti berkumpulan yang diadakan diluar kelas.
11. Aktiviti berkumpulan dalam sesi Latihan Penulisan Rencana merupakan aktiviti wajib peserta.
12. Perbincangan diadakan sebelum latihan persidangan media (PC) olok-olok diadakan.
13. Latihan Persidangan media olok-olok akhirnya menjadi persidangan media sebenar apabila Encik Kupusamy, Ketua Bahagian MIC Labis dijemput sebagai tetamu dalam latihan tersebut .
14. Peserta program bergambar bersama Encik Azril (tiga dari kiri), Datuk Dr. Chamil (tengah) & Dr. Amran (tiga dari kanan).