MPI release
Zamalah: Mendalami ilmu kewartawanan dan memupuk kesetiakawanan

Zamalah: Mendalami ilmu kewartawanan dan memupuk kesetiakawanan

Datuk Chamil bersalaman dengan Datuk Patinggi Abang Zohari selepas beliau melancarkan Zamalah Wartawan Malaysia di Kuching.

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis perasmian Zamalah Wartawan Malaysia 2018 pada 3 Disember 2018, bertempat di Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak. Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Haji Abdul Rahman Abang Zohari Tun Abang Haji Openg.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang ke majlis perasmian Zamalah Wartawan Malaysia 2018 yang akan disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Openg sebentar lagi.

Bagi pihak MPI, saya ingin memanjangkan penghargaan kami atas kesudian YAB meluangkan waktu dalam kesibukan tugas harian YAB untuk bersama-sama dengan para serta Zamalah pada pagi ini.

Salam terima kasih juga saya hulurkan kepada tetamu-tetamu lain yang turut hadir.

Zamalah belum lagi tersenarai dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Jangan tanya saya mengapa. Penggunaannya meluas dalam dunia akademik. Antara pelopor penggunaan perkataan Zamalah ini ialah Profesor Diraja Ungku Aziz, satu waktu Naib Canselor Universiti Malaya.

Sebenarnya Zamalah asalnya adalah dari perkataan Arab Zamala. Diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, ia bermaksud companionship, friendship, fellowship atau togetherness. Dalam Bahasa kita Zamalah bermaksud persahabatan, pergaulan yang karib, kesetiakawanan dan kebersamaan.

Memandangkan program pada mulanya selama sebulan untuk program yang pertama pada 2011 dan program kedua pada 2012, selepas itu dipendekkan kepada dua minggu atas permintaan bos-bos media atas alasan mereka tidak boleh melepaskan staf mereka terlalu lama, maka penggunaan istilah zamalah itu menepati hasrat tersurat dan tersurat program yang MPI anjurkan.

Elemen-elemen persahabatan, pergaulan yang karib, kesetiakawanan dan kebersamaan wujud dalam Zamalah Wartawan Malaysia ini bukan sahaja semasa program berlangsung, tetapi selepas para peserta kembali ke organisasi media di mana mereka bertugas. Mungkin ada yang bertemu jodoh melalui program ini, siapa tahu.

Diharapkan kesetiakawanan, persahabatan, pergaulan dan kebersamaan yang terjalin dan dijalin selama 14 hari itu akan berlanjutan dan diperkukuhkan pasca Zamalah selesai.

Sesungguhnya program yang MPi anjurkan ini bukan sekadar memupuk kesetiakawanan, tetapi ia sebenarnya memberi manfaat dari segi menambah ilmu pengetahuan berkaitan dengan kemahiran kewartawanan, terutama dalam kalangan wartawan muda yang dua atau tiga tahun bergelumang dalam dunia pemberitaan.

Bagi yang sudah berpengalaman, mereka akan mendapati bahawa program dua minggu ini menyegarkan semula komitmen mereka terhadap kerjaya pilihan mereka.

Selama berada dalam program Zamalah ini mereka akan didedahkan dengan pelbagai aspek pelaporan berita, kewartawanan siasatan, penulisan rencana, kewartawanan multimedia dan digital, undang-undang media, etika kewartawanan, memahami fungsi tiga kuasa negara dan sebagainya.

Para peserta Zamalah bukan sahaja akan mendengar ceramah, menghadiri kuliah. Mereka juga perlu melakukan latihan praktikal penulisan berita dan rencana serta menghasilkan video pendek untuk edisi dalam talian dengan mengadakan lawatan ke tempat-tempat terpilih di Kuching, Batang Ai dan Santubong.

Mereka juga akan berdialog dengan speaker badan legislatif Sarawak, pesuruhjaya polis Sarawak dan pengarah unit ekonomi Sarawak. Mereka juga akan mendengar taklimat sambil melihat projek hidro di Sarawak Energy Berhad.

Dalam kunjungan-kunjungan itu kecekapan mereka bertanya soalan akan diuji untuk menggali sebanyak mungkin maklumat yang mungkin boleh digunakan untuk menulis berita dan penulisan rencana.

MPI menyediakan program Zamalah ini secara percuma kepada para peserta, membiayainya menggunakan sumbangan pihak-pihak yang menyokong usaha mulia dan murni kami di MPI membangunkan modal insan kewartawanan; kami membelanjakan tidak kurang RM5,000 bagi membiayai kos setiap peserta selama mereka mengikuti program ini.

MPI berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri dalam menjayakan Zamalah Wartawan Malaysia 2018 ini, kali kedua diadakan di Kuching. Kali pertama pada 2012 iaitu Zamalah yang kedua.

Terima kasih juga kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dewan Undangan Negeri Sarawak, PDRM Sarawak, Unit Ekonomi Sarawak, Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Sarawak Energy Berhad, organisasi media Sarawak, Sabah dan Semenanjung atas kerjasama yang diberikan untuk menjadikan Zamalah Wartawan Malaysia 2018 ini satu realiti.

Kepada para penceramah yang ditampilkan selama dua minggu ini, MPI juga menzahirkan penghargaan atas kesudian mereka berkongsi ilmu dan pengetahuan yang pada mereka untuk disampaikan kepada generasi wartawan baharu.

Kepada YAB Ketua Menteri, jutaan terima kasih kami panjangkan. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa dan budi YAB.

Terima kasih daun keladi, apabila MPI minta bantuan kemudian hari nanti, tolonglah lagi.

Kepada para peserta selamat berzamalah. Manfaatkan lagi Zamalah Wartawan Malaysia ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu kewartawanan dan memupuk kesetiakawanan yang berkekalan.

Sekian dan terima kasih.

Gambar kenangan. Dari kiri hadapan : Dr. Jeniri Amir, Datuk Baharom Mahusin, Cik Vanes Devindran, Puan Peing Tajang, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Openg, Datuk Dr. Chamil Wariya, Encik T. Selva