Zamalah Wartawan 1Malaysia 2016: Peluang menambah ilmu dan membina jaringan

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis pelancaran Zamalah Wartawan 1Malaysia 2016 di Alor Setar, Kedah pada jam 11 pagi, 18 Disember 2016. Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Mohd Tajudin Abdullah, Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah Darul Aman.

 

Pertama-tama saya ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNYA dapat kita berada di Hotel Holiday Villa di Alor Setar pada pagi yang amat bermakna ini bagi menyempurnakan majlis pelancaran Zamalah Wartawan 1Malaysia.

Keduanya, saya ingin memanjangkan penghargaan Malaysian Press Institute atau MPI kepada YB Datuk Haji Mohd Tajudin Abdullah, Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah Darul Aman atas kesudian beliau hadir dan seterusnya menyempurnakan majlis pelancaran Zamalah sebentar lagi.

Selamat datang Yang Berhormat dan terima kasih.

Saya juga ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan Kedah, khususnya kepada pengarahnya, YBhg Dr. Hanif bin Hassan atas kesudian jabatan yang beliau terajui untuk bekerjasama dengan MPI untuk menjadikan Zamalah Wartawan 1Malaysia di negeri ini satu kenyataan.

Percayalah jasa tuan-tuan berdua akan terpahat dalam lipatan kenangan saya dan MPI selagi hayat dikandung badan. Terima kasih sekali lagi.

Untuk makluman YB, dan tetamu yang lain, Zamalah Wartawan 1Malaysia, yang berlangsung selama dua minggu di Kedah ini, adalah program kali ke enam anjuran MPI. Program pertama diadakan pada 2011 di Kuala Lumpur dan pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf; yang kedua berlangsung di Kuching Sarawak pada 2012, ketiga dan keempat di Kuala Lumpur pada 2013 dan 2014 dan yang kelima tahun lalu 2015 di Kota Kinabalu Sabah. Lihat Jadual 1.

Jadual 1: Zamalah Wartawan 1Malaysia, 2011-2016

Tahun Lokasi Jumlah Peserta
2011 Kuala Lumpur 18
2012 Kuching, Sarawak 22
2013 Kuala Lumpur 24
2014 Kuala Lumpur 25
2015 Kota Kinabalu, Sabah 23
2016 Alor Star, Kedah 21
Jumlah   133

Bagi Zamalah Wartawan 1Malaysia kali keenam ini, 21 peserta, yang mewakili pelbagai pertubuhan berita di negara ini akan berkampung di Alor Setar dan Jerai selama dua minggu. Saya merakamkan penghargaan kepada para peneraju editorial organisasi berita berkenaan kerana bersetuju untuk memberi pelepasan dua minggu kepada para wartawan masing-masing untuk mengikuti Zamalah Kewartawanan kali ini. Tanpa sokongan mereka, program ini tidak akan dapat dijadikan kenyataan. Insya-Allah, apabila program ini berakhir pada 29 Januari 2016 nanti, bermakna 133 orang wartawan telah mengikuti program yang kita adakan setahun sekali ini.

Bilangan itu tidaklah ramai, tetapi saya percaya, mereka yang terpilih untuk menyertai Zamalah Wartawan 1Malaysia, telah melalui satu pengalaman yang berupaya untuk mengasah gergaji kemahiran kewartawanan masing-masing (yang mungkin telah tumpul); selain meningkatkan kefahaman mereka mengenai undang-undang media, baik secara langsung atau tidak langsung, yang memagari dan melindungi profesyen kewartawanan. Mereka akan menjadi lebih arif mengenai selok belok fungsi tiga kuasa utama negara iaitu legislatif yang diwakili oleh Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri pada peringkat negeri, eksekutif dan judisiari.

Justeru, pengisian Zamalah Wartawan 1Malaysia diatur begitu rupa untuk mendedahkan para peserta dengan kompetensi jurnalistik yang bertujuan untuk menampilkan mereka sebagai wartawan yang berkaliber dan berintegriti tetapi pada waktu yang sama, luas pengetahuan melampaui bidang yang mereka ceburi. Para wartawan sebagai pekerja ilmu atau knowledge worker seperti yang dinyatakan oleh guru pengurusan Barat Peter Drucker perlu senantiasa berusaha untuk menjadikan diri mereka senantiasa berada di barisan hadapan dari segi pengetahuan apabila dibandingkan dengan karyawan dalam profesyen-profesyen lain.

Dengan itu barulah kita sebagai wartawan dapat menghasilkan penulisan bermutu tinggi dan dihormati oleh audiens atau khalayak kita. Sebagai wartawan, tugas kita bukanlah sekadar untuk memaklumkan, mendidik dan menghibur tetapi memberi pencerahan mengenai pelbagai isu-isu semasa untuk membantu khalayak membuat keputusan-keputusan yang cerdik dalam kehidupan bernegara yang demokratik.

Fungsi wartawan bukanlah sekadar penyebar maklumat. Kita hendaklah menjadi penyebar maklumat yang menjadi penyuluh kepada masyarakat, membimbing mereka ke jalan yang benar, di samping bertindak sebagai penegur dan pemantau yang berkesan terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh pelbagai pihak, terutama dalam kalangan yang berkuasa. Lagi pun berita bukan sekadar berkisar kepada “manusia menggigit anjing” seperti yang diajar di sekolah-sekolah kewartawanan. Berita dan kewartawanan juga ada peranan dalam pembangunan negara.

Saya berharap Zamalah Wartawan 1Malaysia ini menyumbang ke arah matlamat yang dinyatakan. Justeru, kita telah memilih para wartawan senior yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing untuk membimbing para peserta Zamalah selama dua minggu mendatang. Kita juga memberi ruang kepada ahli-ahli akademik yang tersohor dalam bidang masing-masing untuk membimbing para peserta terutama mengenai perkara-perkara yang bagi wartawan agak sedikit teknikal seperti undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan fungsi tiga kuasa negara.

Saya berpesan kepada para peserta supaya menggunakan kesempatan ini untuk menambah ilmu di dada, dengan mengikuti program yang kita atur dengan tekun dan bersungguh-sunggh. Bukankah proses pembelajaran itu sering dikatakan tidak pernah berhenti selagi kita masih bernafas? Bagi yang berasakan dirinya sudah cukup berilmu, program ini adalah peluang untuk mereka menyegarkan semula pengetahuan yang ada. Semua ini kita lakukan dengan satu azam: untuk mengangkat diri kita menjadi pekerja ilmu yang dihormati.

Saya percaya bagi para peserta, yang penting bukan sahaja kuliah-kuliah yang diberikan, serta latihan-latihan yang perlu dilakukan, tetapi peluang untuk menjalin persahabatan semasa berada dua minggu ini. Malah selain tujuan tersurat Zamalah Wartawan 1Malaysia, seperti yang telah saya nyatakan tadi, satu matlamat tersirat program ini adalah untuk membina rangkaian setia kawan dalam kalangan para peserta. Gunakanlah peluang dua minggu yang bermula hari ini untuk berkenalan antara satu sama lain. Tambahan pula para peserta datang dari pelbagai tempat; ada yang dari Sabah, Sarawak. Rugi kalau sepanjang berada di sini kesempatan itu tidak digunakan untuk mengukuhkan silaturahim sesama peserta.

Sebagai penutup saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Haji Tajudin Abdullah atas kesudian beliau untuk hadir pada pagi ini. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Dr. Hanif Hassan dan seluruh kakitangan Jabatan Penerangan Kedah kerana bertungkus lumus membantu MPI menjayakan Zamalah Wartawan 1Malaysia 2016. Saya juga menghargai sokongan yang diberikan oleh kerajaan negeri Kedah Darul Aman di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir untuk menjayakan program ini dengan memberi sumbangan sebanyak RM10,000. Terima kasih jua kepada AmBank Malaysia atas sumbangan wang tunai dan pelbagai peralatan lain untuk menjayakan program ini. Hanya Allah SWT yang dapat membalas budi baik kalian.

Sekian dan terima kasih. Kepada para peserta, saya ucapkan selamat berzamalah.