Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia membuka tirai kegiatan MPI 2015

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia, program khusus untuk kalangan wartawan yang berusia 30 tahun ke bawah, akan membuka tirai kegiatan Malaysian Press Institute (MPI) bagi 2015.

Program dua minggu bermula pada 18 Januari dan berakhir pada 31 Januari 2015 itu akan diadakan di Kota Kinabalu dan di Kundasang Sabah dengan kerjasama Jabatan Penerangan Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Harun Abdullah akan merasmikan program itu pada 19 Januari 2015 di sebuah hotel di Kota Kinabalu manakala majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta akan disempurnakan oleh Pengarah Penerangan Sabah, Tuan Haji Ajmain Ajrul pada 31 Januari di Kundasang.

25 tempat untuk wartawan muda dari organisasi berita di Sabah, Sarawak dan Semenanjung disediakan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia yang pertama kali diperkenalkan pada 2012.

Sehingga 5 Januari 2015, 14 wartawan sudahpun mengesahkan kehadiran mereka untuk mengikuti program tersebut.

Sebilangan organisasi berita pula sedang mengenal pasti calon-calon yang sesuatu untuk menyertai program itu.

Keistimewaan untuk mengikuti Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia diberi kepada para wartawan Sabah dan Sarawak yang memang dahagakan kursus-kursus kewartawanan.

Tekan sini untuk senarai peserta.

Program pertama Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia selama sebulan diadakan di Kuala Lumpur pada 2012; diikuti oleh yang kedua di Kuching, Sarawak pada 2013. Program ketiga juga selama sebulan diadakan di Kuala Lumpur pada 2014.

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di Kota Kinabalu adalah kali keempat ia dianjurkan. Ia disingkatkan kepada dua minggu atas permintaan organisasi media di Sabah dan Sarawak yang tidak dapat melepaskan para wartawan masing-masing untuk tempoh yang lama pada satu-satu waktu untuk menghadiri sebarang kursus.

Selama dua minggu itu, para wartawan muda itu akan didedahkan dengan selok belok kemahiran dan pengetahuan  kewartawanan yang bertujuan untuk menajamkan bakat mereka dalam bidang penulisan, selain membantu mereka memahami peranan media vis a vis tiga kuasa negara iaitu legislatif, judisiari dan eksekutif, serta kewartawanan dan undang-undang.

Barisan penceramah terdiri daripada kalangan wartawan veteran yang berpengalaman, para editor dan pengarang, ahli-ahli akademik serta individu yang tersohor dalam dunia media.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya akan bertindak sebagai moderator.

Tekan sini untuk senarai penceramah.

Selain mengikuti kuliah, para peserta juga akan menjalani latihan praktikal seperti mengadakan temu ramah dengan tokoh-tokoh tertentu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan Sabah untuk dijadikan berita dan rencana.

Program itu akan berakhir di Kundasang di mana para wartawan akan didedahkan dengan bengkel kewartawanan foto yang akan membolehkan mereka merakamkan keindahan di sekitar kaki Gunung Kinabalu yang menempatkan gunung tertinggi di Malaysia.

Tekan sini untuk butiran program.