Menilai program sarjana kewartawanan multimedia UUM

Pautan asal : Menilai program sarjana kewartawanan multimedia UUM – VOA Media Network (home.blog)
Oleh DATUK DR. CHAMIL WARIYA – 6 Julai 2021

Penilaian semula program sarjana sains multimedia (MSc Multimedia Journalism) Universiti Utara Malaysia (UUM) oleh panel penilai luar akademik dan industri berlangsung secara maya semalam.

Saya mewakili Malaysia Press Institute (MPI) bertindak sebagai panel luar industri manakala Profesor Dr. Mohd Yahya Mohd Ariffin, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan penilai luar akademik program tersebut.

Pembentangan penilaian program tersebut bagi pihak UMM untuk diajukan bagi mendapat kelulusan Malaysia Qualification Agency (MQA) telah dipimpin oleh Profesor Madya Dr. Awan Ismail, yang juga Ketua Jabatan Teknologi Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) universiti berkenaan. Beliau dibantu oleh ahli akademik jabatan yang lain.

Program ini pertama kali diluluskan oleh MQA pada 2017. Kumpulan pertama pelajar memulakan pengajian pada tahun akademik 2018.

14 orang telah menamatkan pengajian yang dilaksanakan secara mod kerja kursus sepenuhnya pada penghujung 2020.

Bagi pelajar sepenuh masa, program ini mengambil masa tiga semester manakala bagi pelajar sambilan, tempohnya adalah lima semester.

40 jam kredit diperlukan untuk menyempurnakan ijazah tersebut. Selain subjek asas dan elektif, para pelajar diwajibkan untuk menyiapkan projek penyelidikan pada semester akhir.

Penilaian semula diperlukan sebagai memenuhi syarat-syarat baharu MQA dalam upaya memantapkan lagi program sarjana tersebut bagi disesuaikan dengan kehadiran Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan teknologi digital dan kecerdasan bikinan atau artificial intelligence yang dijangka digunakan secara meluas dalam bidang media.

Dalam sesi tersebut, panel penilai luar diberi kesempatan untuk menemubual 5 orang pelajar kumpulan pertama program yang telah menamatkan pengajian masing-masing tahun lalu untuk meninjau pandangan mereka mengenai kelebihan dan kekurangan pengajaran dan pembelajaran.

Kami juga berpeluang menemubual tenaga akademik jabatan yang secara langsung mengajar program sarjana kewartawanan multimedia itu bagi berkongsi pengalaman mereka.

Sebagai panel luar industri, antara lain saya telah menumpukan penilaian saya kepada lima aspek utama dengan mengajukan pertanyaan berikut kepada tenaga pengajar dan graduan program tersebut:

  1. Dari segi kandungan sejauh manakah subjek yang diajar benar-benar memenuhi keperluan industri terutama dalam mengimbangi keperluan teori dan tugasan praktikal yang memadai selari dengan status pada peringkat ijazah sarjana?
  2. Dari segi tenaga pengajar sejauh mana para pensyarah yang ditugaskan mempunyai kelayakan mengajar program tersebut dan apakah mereka mempunyai pengalaman industri yang sesuai dengan perkembangan terbaharu teknologi digital dan multimedia?
  3. Dari segi kemudahan dan peralatan, apakah UUM menyediakan kemudahan dan peralatan yang sesuai dan up to date dengan apa yang terdapat di industri media negara ini?
  4. Apakah langkah-langkah khusus yang hendak diambil oleh pihak UUM untuk meyakinkan industri media dan bukan media berkait kerelevanan program tersebut dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berkemahirann tinggi dalam bidang kewartawanan multimedia?
  5. Selain mengenal pasti kekuatan dan kelemahan program, apakah cadangan yang dikemukakan oleh graduan dan para pensyarah untuk memperbaiki program sarjana kewartawanan multimedia tersebut?

Laporan penilaian saya menggunakan borang yang disediakan oleh UUM sedang dalam proses disiapkan.

Secara peribadi, saya berterima kepada kepada SMMTC kerana memberi peluang kepada saya dan MPI untuk menjadi penilai luar industri.

Penilaian seterusnya selepas ini adalah terhadap program sarjana muda kewartawanan yang ditawarkan oleh pusat pengajian tersebut.

Saya mengajukan pelbagai pertanyaan mengenai program sarjana kewartawanan multimedia sewaktu sesi penilaian program tersebut dengan ahli akademik Jabatan Teknologi Media UUM pada 5 Julai 2021.
Prof. Dr. Mohd Yahya, panel luar akademik program sarjana kewartawanan multimedia UUM.