KUALA LUMPUR, 23 Julai – Evolusi dunia penerbitan majalah dan media digital tempatan menjadi tumpuan dalam sesi forum sempena Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur hari ini.
Forum “Evolusi Penerbitan Majalah dan Media Digital di Malaysia” ini menghimpunkan tokoh penting dalam bidang penerbitan dan kewartawanan tempatan sebagai panelis, iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; YBrs. Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI); YBhg. Datuk Chamil Wariya, mantan Ketua Pegawai Eksekutif MPI; serta Puan Wirda Adnan, Editor dan pemilik portal Majalah WM.
Sesi tersebut dikemudikan oleh Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar yang membawa audiens menelusuri perubahan landskap penerbitan dari era cetak ke era digital, cabaran kebolehpasaran kandungan berbahasa Melayu, serta strategi jangka panjang untuk memastikan kelangsungan industri majalah dan media digital tempatan.
Para panelis turut berkongsi pandangan berkenaan peranan institusi, organisasi media dan individu dalam memperkasa bahan bacaan dan penerbitan yang berteraskan bahasa kebangsaan dalam dunia serba digital masa kini.
Seminar ini menjadi medan penting untuk menilai semula arah tuju industri penerbitan berbahasa Melayu dalam menghadapi cabaran teknologi, keperluan audiens generasi baharu dan transformasi ekosistem media secara menyeluruh.








