Cyberjaya, 18 April 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara institusi akademik dan industri media.
Pertemuan ini menjadi platform untuk membincangkan potensi kolaborasi strategik, khususnya dalam penganjuran program yang boleh memberi pendedahan kepada pelajar UUM mengenai bidang kewartawanan, komunikasi massa dan aspek perundangan berkaitan media.
MPI turut menyatakan komitmen dalam menyokong inisiatif akademik melalui latihan, bengkel serta seminar yang mampu menerapkan teori sebenar apabila berada dalam industri media. Kerjasama ini dapat melahirkan generasi muda yang celik media, beretika serta memahami peranan penting undang-undang dalam penyampaian maklumat dengan lebih bertanggungjawab.
Antara perwakilan Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang turut hadir termasuk Dekan Pusat Pengajian Undang-undang/ Penolong Naib Canselor Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah, Pengerusi Program LL.B, Dr. Mukhriz Mat Rus dan Pensyarah Kanan, Dr. Hafidz Hakimi Haron.
Manakala delegasi MPI diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain dan sekretariat MPI, Aisyah.
Pada majlis itu juga, Pensyarah Kanan, Dr. Hafidz Hakimi Haron menyampaikan buku hasil karya beliau bertajuk ‘Freedom of Press and The Press Council’ untuk Perpustakaan Mini MPI.



