KUALA LUMPUR, 10 Mac – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam pelbagai program.
Pertemuan itu turut menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan serta memperluas jaringan kerjasama antara MPI dan sektor korporat. Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak menekankan kepentingan pendigitalan dalam memperkasa penyampaian maklumat yang tepat dan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat. Antara agenda lain yang dibincangkan adalah penganjuran Anugerah Media Agrobank, yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2025.
Delegasi MPI diketuai oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail dan Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain.
Kunjungan ini turut disertai oleh Ketua Pemasaran dan Komunikasi Agrobank, Intan Syazwani Isa dan Eksekutif Kanan Perhubungan Awam Agrobank, Fatin Shaheera Mohd Rosli.


