KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025 — Malaysian Press Institute (MPI) hari ini mengadakan perbincangan bersama TH Travel & Services Sdn. Bhd. di Pejabat Operasi TH Travel, Menara TH Selborn bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang pembangunan media dan pelancongan Islamik.
Pertemuan ini melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel, YM Tengku Dato’ Badlishah Shukri Tengku Ibrahim yang mengetuai delegasi syarikat tersebut bersama barisan pegawai TH Travel.
MPI pula diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama Pengurus Kanan Pengurusan Projek, Dr. Nuzatul Shima Sulaiman dan Puan Norhafiza Kamaludin, serta wakil sekretariat Norfatin Syahira Jusoh dan Muhammad Asyraf Rosmidi.
Perbincangan memberi fokus kepada peluang penganjuran program bersama antara MPI dan TH Travel khususnya yang berkaitan pembangunan kapasiti media dalam sektor pelancongan Islamik.
Turut disentuh ialah usaha memperluaskan program literasi pelancongan Islamik bagi meningkatkan kefahaman media mengenai aspek-aspek penting industri tersebut.
Selain itu, MPI dan TH Travel juga berbincang mengenai latihan untuk kakitangan TH Travel, khususnya dalam bidang digital, penceritaan (storytelling) dan strategi komunikasi.
Dr. Haji Ainol turut berkesempatan meninjau studio mini TH Travel yang digunakan bagi menggerakkan aktiviti promosi dan penghasilan kandungan media sosial syarikat tersebut.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan perbincangan susulan ke arah memperkukuh kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada industri pelancongan Islamik dan ekosistem media negara.



