Cyberjaya, 4 Disember 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) menegaskan bahawa setiap program yang dianjurkan perlu dirancang secara sistematik, disemak dengan teliti dan disusun berstruktur bagi memastikan kelancaran serta keberkesanan penganjuran. Prinsip ini turut diterapkan dalam persiapan program Forum Mini Kewartawanan yang bakal berlangsung di UiTM Rembau pada 9 Disember ini.
Semalam, sekretariat MPI telah mengadakan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bagi memastikan semua aspek persediaan berada pada tahap terbaik. Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada penyelarasan logistik, teknikal, pengurusan aliran program serta perincian operasi bagi memastikan tiada komponen yang terbantut atau terlepas daripada perhatian.
Program yang dijangka menghimpunkan seramai 350 pelajar bersama para pensyarah mereka ini akan menampilkan pelbagai pengisian utama termasuk sesi forum, pameran, mini studio, selain aktiviti interaktif lain yang dirangka khusus untuk memberi pendedahan realiti kewartawanan digital kepada pelajar.
MPI yakin program ini akan menjadi platform berimpak tinggi untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap etika media, profesionalisme kewartawanan serta keperluan adaptasi dalam ekosistem media baharu.
Dengan penyelarasan rapi yang dilaksanakan, MPI optimis bahawa Mini Forum Kewartawanan di UiTM Rembau ini akan berlangsung dengan teratur, lancar dan memenuhi objektif dalam memperkukuh jaringan pendidikan media antara MPI dan institusi pengajian tinggi.



