MPI Perkukuh Agenda Pembangunan Media melalui Perbincangan Industri Bersama Cili Media

Cyberjaya, 5 Disember 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) sedang meneliti cadangan penganjuran sebuah konvensyen khusus yang memberi tumpuan kepada pembangunan salah satu segmen kerjaya dalam bidang kewartawanan dan media pada tahun hadapan, sebagai usaha memperkukuh profesionalisme serta jaringan industri negara. Sehubungan itu, pada 4 Disember (semalam) MPI telah menerima kunjungan Pengarang Cili Media, Encik Baha Azuan, bagi membincangkan potensi kerjasama strategik yang boleh menyokong penganjuran program tersebut.

Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang lebih menyeluruh melibatkan cadangan kolaborasi dalam pelbagai aspek termasuk penganjuran kursus penginapan, latihan media seperti fotografi, serta inisiatif pengukuhan jaringan industri yang mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak. MPI melihat pertemuan ini sebagai satu langkah penting ke arah memperluas ekosistem latihan dan pembangunan bakat dalam industri media.

Perbincangan turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail; Pengurus Kanan Unit Kewangan dan Pentadbiran, Encik Yusof Saharin Haron; Pengurus Kanan Unit Projek Khas, Puan Ramizah Abdul Aziz; serta wakil Unit Pentadbiran dan Kesetiausahaan, Puan Norfatin Syahira Jusoh.

Pertemuan ini berperanan sebagai platform awal pemerkasaan hubungan industri antara MPI dan Cili Media, yang berpotensi membuka lebih banyak kerjasama bersifat strategik serta selari dengan agenda pembangunan profesional media di Malaysia.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest